Thursday 16 November 2017

BERSATU Mungkin Tidak Dapat Sertai PRU14.

Tags




KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkin tidak dapat menyertai PRU14 sekiranya masih gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Pertubuhan Malaysia (ROS), Surayati Ibrahim berkata, pertubuhan yang diluluskan sejak lebih setahun itu telah melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal mengadakan AGM yang sepatutnya diadakan dalam tempoh setahun selepas ia ditubuhkan.

Menurutnya, walaupun pihaknya ada menerima permohonan penangguhan AGM, ia sebenarnya tertakluk kepada perlembagaan parti itu sendiri yang perlu mengadakan mesyuarat itu dalam tempoh tersebut.

“BERSATU diluluskan sejak lebih setahun lalu (September 2016), kalau ikutkan perlembagaan, mereka kena ada AGM. Alasan bahawa kelemahan dari segi struktur dalaman parti bukan masalah kita.

“Sepatutnya mereka perlu bersedia, jangan beri pelbagai alasan berkenaan masalah parti, ia perlu diselesaikan segera supaya mereka dapat buat AGM dan boleh sertai PRU,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pengukuhan Pertubuhan Berkualiti dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Persatuan Bersama ROS di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Surayati berkata, terdapat kemungkinan parti itu dibubarkan sekiranya masih gagal mematuhi tempoh rayuan yang ditetapkan.

“Memang ada kebarangkalian untuk dapat dibubarkan sekiranya mereka tak laksanakan tanggungjawab mereka iaitu mengadakan AGM,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perlembagaan BERSATU, mesyuarat cawangan perlu diadakan dalam tempoh 14 hari sebelum mesyuarat bahagian, manakala mesyuarat perwakilan bahagian dalam tempoh 60 hari sebelum mesyuarat agung dilaksanakan.

Surayati bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada 30 November ini untuk berbincang lanjut mengenai perkara itu.

“Perjumpaan itu untuk bincang mengenai perkara ini termasuk tempoh rayuan dan mencari tarikh untuk AGM mereka, kita akan bincang secara terperinci.

“Kita boleh tentukan sebenarnya berdasarkan tempoh-tempoh yang saya sebutkan tadi, saya fikir boleh kita beri masa kepada mereka,” katanya.

Menyentuh perkembangan mengenai sayap pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), katanya, sehingga kini lebih 33 aduan diterima berhubung penyalahgunaan istilah itu bagi jawatankuasa pemuda parti tersebut.

“Sejak kenyataan saya pada 9 November lalu, aduan makin bertambah, bukan dari Johor sahaja, semalam ada juga aduan dari negeri Perak dan beberapa negeri lain lagi. Kita akan teruskan siasatan kita apa yang berlaku dalam BERSATU dan mengapa pemuda membuat aduan seperti itu.

“Setakat ini kita dah panggil setiausaha agung mereka berdasarkan peranan besar yang dimainkan dalam parti, dan beliau telah beri kerjasama yang baik. Ketua pemuda (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) kita belum panggil lagi kerana akan semak sama ada sesuai atau tak untuk panggil beliau,” katanya.

Surayati turut menyangkal dakwaan mengatakan adanya campur tangan politik dalam perkara itu malah beliau menegaskan ia adalah isu besar dalam sesebuah pertubuhan.

“Ini adalah isu besar, kerana sesuatu yang tiada dalam perlembagaan dan diada-adakan adalah isu yang besar yang menyebabkan ahli mereka berasa ditipu. Sepatutnya mereka masih gunakan pemuda (seperti parti politik lain), kerana pindaan terhadap armada belum diluluskan lagi.

“Malahan pelaku terhadap mengapa armada digunakan perlu diambil perhatian, siapa yang bertanggungjawab menyebabkan penggunaan istilah armada ini berleluasa, kita tak boleh katakan bahawa keseluruhan kepimpinan itu salah kerana ia memerlukan siasatan terperinci,” katanya.

Berdasarkan rekod, sehingga kini terdapat keseluruhan 60,000 persatuan telah didaftarkan di negara ini manakala sebanyak 6,000 lagi dibatalkan atas kesalahan melanggar akta pertubuhan. - Sinar Harian


Loading...

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon