Wednesday, 6 December 2017

Sabah Kekal Negeri Paling Ramai Ahli UMNO.

Tags




KUALA LUMPUR: Keanggotaan UMNO mencecah 3,644,295 orang sehingga semalam dengan bilangan cawangan sebanyak 21,851 di seluruh negara kecuali Sarawak.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Sabah kekal sebagai negeri dengan keanggotaan paling ramai dan Bahagian Silam mewakili anggota teramai sementara Kampung Batu Putih Darat, Libaran adalah cawangan yang mencatat jumlah anggota tertinggi.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata dalam keadaan UMNO diserang pelbagai pihak bukan saja pembangkang atau bekas pemimpin UMNO sendiri, ternyata keanggotaan UMNO terus meningkat yang membuktikan bahawa parti ini sentiasa mendapat sokongan.

“UMNO terus bergerak dengan jentera yang tanpa lelah, memastikan bukan sahaja pertambahan bilangan ahli UMNO tetapi selari dengan anggota parti yang tentunya berdaftar sebagai pemilih lantas dapat menunaikan tanggungjawab menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak,” katanya ketika membentangkan laporan tahunan parti dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri 2,718 anggota perwakilan itu dirasmikan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan berkata biarpun terdapat pihak luar yang melemparkan tohmahan, membuat tuduhan, menabur fitnah dan cuba memecahkan perpaduan parti, namun kesatuan setiap anggota UMNO telah mendukung kebersamaan dalam meneruskan perjuangan.


“Ia bukan sekadar memastikan kesinambungan UMNO terus teguh, tetapi apa yang lebih penting adalah meneruskan penghayatan terhadap asas dan tujuan parti ini ditubuhkan. Dalam apa juga keadaan, perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Perhimpunan Agung UMNO itumenjadi bukti bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai struktur mantap, organisasi yang tersusun, mempunyai perlembagaan dan peraturan serta patuh kepada undang-undang.

“Malah (ia) dapat menunjukkan kepada parti-parti lain termasuklah serpihan UMNO, mengenai kaedah melaksanakan mesyuarat agung mengikut perlembagaan parti, yang juga menepati kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Perhimpunan itu turut disertai delegasi luar negara seramai 95 orang, mewakili 20 parti melibatkan 16 buah negara antaranya wakil parti politik seperti People’s Action Party (PAP), Singapura, United Bangsamoro Justice Party (UBJP) (Filipina), Cambodian People’s Party (Kemboja), Palestine National Liberation Movement (Fatah) dan Islamic Resistance Movement (Hamas) dari Palestin.

Turut bersama mereka ialah 77 anggota perwakilan Kelab UMNO Luar Negara selain kehadiran perwakilan mahasiswa dalam negara mewakili institusi pengajian tinggi awam dan swasta atas nama Mahasiswa Nasional.

Perhimpunan Agung UMNO itu juga mendapat liputan penuh media dalam dan luar negara membabitkan sebanyak 75 agensi media cetak dan elektronik. - BERNAMA

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon