Tuesday 6 March 2018

Isu Sempadan Sabah - Kalimantan, Kerajaan BN Abai Kedaulatan Negara.

Tags




Kenyataan Media Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah.

7 Mac 2018

Pemuda Pakatan Harapan (Pemuda HARAPAN) Sabah hari ini menggesa kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan segera isu sempadan Sabah-Kalimantan kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

"Setelah sekian lama kita membentuk Persekutuan Malaysia, hari ini kita dapat tahu persempedanan antara Malaysia-Indonesia sebenarnya (Sabah-Kalimantan) masih belum dimuktamadkan."

Memetik beberapa portal berita rasmi Indonesia, kita dapat maklumat bahawa sempadan Sabah-Kalimantan hari ini bukanlah yang sebenarnya. Wilayah Borneo Utara (Sabah) sebenarnya lebih luas termasuk beberapa kawasan yang berada dalam Republik Indonesia hari ini.

Kita hairan mengapa pimpinan negara tidak menyelesaikan perkara ini. Hal ini sepatutnya diambil serius kerana melibatkan kedaulatan negara. Namun ia seolah tidak penting bagi mereka yang sibuk menjaga kuasa sehingga perkara ini diabaikan.

Di pihak rakyat Indonesia sendiri telah mendesak pemimpin republik itu untuk memuktamadkan status lebih 154,000 hektar kawasan sepanjang Sungai Simantipal dan Sungai Sinapad yang dikatakan milik Malaysia yang berada dalam republik itu terutama di Lumbis Agong.

Kawasan itu melibatkan 28 buah perkampungan antaranya Desa Labang, Sumantipal, Ngawol, Bulalaun Hilir, Lagas, Tantalujuk, Tambalang Hulu, Lipaga, Kabungolor, Bulalaun Hulu, Tuntulibing, Duyan dan Sungai Sasan.

Isu di sempadan semakin meruncing bila ada desas desus menyatakan Malaysia akan membina "Monumen Sumantipal" di wilayah Desa Sumantipal - Sinapat yang dikatakan masih dalam tahap perundingan antara Malaysia - Indonesia. Perkara ini mengundang rasa tidak puas hati penduduk kawasan berkenaan.

Penduduk kawasan tersebut juga berkata sekiranya isu ini tidak diselesaikan, ribuan penduduk kawasan berkenaan yang berstatus warganegara Indonesia akan pergi ke Malaysia. Dan isu ini tidak harus dipandang ringan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Majoriti masyarakat yang terlibat dalam isu ini adalah kaum Murut (Dayak Darat). Oleh itu sebagai pemimpin Murut dalam Pakatan Harapan, kami juga meminta kepada Pimpinan Parti Pakatan Harapan agar memasukkan isu kedaulatan dan sempadan Sabah ke dalam manifesto PRU14 serta memberi komitmen penuh dalam menyelesaikan isu ini dengan mengambil kira hak-hak yang sepatutnya milik Sabah amnya dan di Pensiangan khususnya mengikut Perjanjian Persefahaman (MoU) antara British - Belanda pada tahun 1930.

Raymond Ahuar
Ketua Pemuda HARAPAN & Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah.
Naib Ketua Pemuda HARAPAN & Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Merangkap,
Ketua BELIA Persatuan Murut Sabah (PMS).

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon