Friday 9 March 2018

Apabila 'Anu' Dah Keras! Malam Jumaat, Tak Boleh Tunggu Lama.

Tags




Ting! "Malam Jumaat, tak boleh tunggu lama. Anu keras dah tunggu, lama sangat. Naik dululah." Mata Saleha terbeliak memandang skrin telefon genggamnya. Dia seakan tidak percaya Saadon selamba menghantar mesej sebegitu kepadanya melalui WhatsApp.

Hati Saleha berbelah bahagi antara mahu mencampakkan telefon genggamnya atau membalas mesej Saadon dengan caci maki.

Mukanya terasa memanas. Bukan kerana simbahan lampu di kaki lima rumah kedai di kawasan berkenaan, atau dia berdiri di tepi unggun api.

Mukanya memerah antara marah, benci dan aib. Bagi Saleha, pada malam itu Saadon sudah bergurau melebihi hadnya. Mereka memang berkawan tetapi janganlah sampai bergurau dengan benda yang luc*h.

Mengikut persepsi Saleha, Saadon kurang ajar dan mesti diajar. Maruahnya sebagai wanita perlu dihormati. Bergurau boleh, tapi jangan sampai melampau.

Adakah persepsi penting?

Mungkin ya, tapi mungkin juga tidak. Ia bergantung kepada nilaian seseorang. Dalam masyarakat yang tebal rasa malu, persepsi itu wajib dipelihara dan tiada kompromi kerana ia membabitkan nama baik.

Justeru ada menteri yang mengumumkan peletakan jawatan hanya kerana terlewat tiba di parlimen bagi menjawab soalan wakil rakyat.

Ia ditawarkan secara spontan - tetapi mengejutkan - oleh Michael Bates di United Kingdom.

Ketua Pegawai Operasi Ryanair Michael Hickey pula berundur daripada jawatannya selepas puluhan ribu penerbangan dibatalkan ekoran kesilapan susunan aturan kerja juruterbang.

Cho Hyun-ah pula mengemukakan peletakan jawatan selepas didapati bersikap angkuh kepada kakitangan syarikat penerbangan Korean Air.

Aib jadi lebih besar
Hyun-ah ialah naib presiden eksekutif Korean Air dan bapanya, Cho Yang-ho adalah pengerusi syarikat penerbangan itu.

Di Belanda Menteri Luar Halbe Zijlstra berundur dalam keaiban selepas terbukti dia menipu kononnya bertemu Vladimir Putin dan mendakwa kononnya terdengar perbualan Presiden Russia berkenaan pada 2006.

Padahal dia mendapat maklumat mengenai kata-kata Putin daripada sumber lain.

Dia gagal mempertahankan pembohongan yang dikisahkannya itu pada 2016 dan meletak jawatan pada 13 Feb lalu.

Apa yang mendorong tokoh-tokoh di atas - serta ramai lagi yang lain - meletak jawatan? Ia adalah kerana maruah diri diletakkan lebih tinggi berbanding materi.

Tanpa tindakan itu persepsi masyarakat kepada mereka - serta pertubuhan yang diwakili - pasti menjunam. Ia tidak boleh dikompromi sama sekali.

Malu yang ditanggung memang besar tetapi aib itu akan menjadi lebih besar jika mereka kekal dengan jawatan sedia ada.

Hickey, Hyun-ah dan Zijlstra tidak melafazkan kalimah beriktikad bahawa Allah adalah tuhan mereka dan Muhammad sebagai nabi.

Pada masa sama Islam yang menegaskan bahawa sifat malu itu adalah sebahagian daripada cabang iman.

Tetapi di Malaysia segalanya adalah istimewa. Persepsi tentang aib bukan sesuatu yang vital atau mesti menjadi teras dalam kehidupan. Pedulilah apa pun, kalau sekadar persepsi ia adalah banal yang tidak perlu dihiraukan.

Jadi, ada apa dengan Indeks Persepsi Rasuah yang dibentangkan saban tahun itu?


Di negara lain ia mungkin penting tetapi di tanah bertuah ini, ia sekadar pembangkit kesedaran bahawa kita tidak perlukan campur tangan asing.

Ia mungkin satu gesaan supaya bangkit satu kesedaran menyeluruh. Tidak semestinya bangun mengubah keadaan dan memperbaiki persepsi.

Kesedaran yang ada ialah untuk membina indeks persepsi sendiri. Barulah anak jantan. Nasib kita, biar kita tentukan sendiri.

Masa kini dan masa depan wajib dicorakkan oleh warganegara yang patriotik, bukan oleh ekspatriat.

Justeru idea mewujudkan indeks persepsi rasuah domestik wajar diwujudkan. Cubalah dulu dan lihat keberkesanannya.

Jika ada yang tidak berkenan di hati, boleh saja ditambah baik sehingga ia benar-benar mengikut 'acuan' yang kita suka.

Lagi pun ia sekadar persepsi, bukan realiti.

Serampang banyak mata

Persepsi rasuah di negara ini ternyata sesat lagi menyesatkan. Segalanya adalah sempurna dan baik-baik saja. Memang adalah seorang dua yang ditahan, tetapi semuanya adalah terkawal.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya boleh menjadi agensi suri teladan bukan saja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Kecekapan dan kelicikan pegawai-pegawainya dari segenap peringkat menjalankan tugas masing-masing memang mengagumkan.

Lambakan idea yang dikemukakan SPRM bagi memerangi rasuah serta salah guna kuasa begitu luar biasa. Jika seseorang mahu memahami makna sebenar amalan pemikiran kreatif serta di luar kotak, SPRM adalah contoh terbaik.

Pelbagai strategi serampang banyak mata yang dilaksanakan pegawai atasan SPRM -sama ada secara terbuka atau tertutup - ternyata begitu berkesan dan membanggakan kita semua.

Malaysia kini sudah menjadi neraka kepada pengamal rasuah. Jika berangan-angan mahu menumbuk rusuk, Malaysia bukanlah tempatnya.

Dalam keadaan begitu mana mungkin indeks persepsi rasuah negara boleh berada pada tahap seperti didakwa Transparency International?

Maka dari perspektif ini persepsi tidaklah begitu penting di negara ini. Jika ada pihak yang berpendapat sebaliknya, ia sudah pasti didorong oleh sifat dengki.

Hari Jumaat. Saadon menghampiri meja Saleha dengan senyum mekar di wajahnya. Saleha menjuihkan mulut dan berpaling sebelum berlalu pergi.

Saadon berasa hairan. Dia cuma mahu bertanya mengapa rakan sepejabatnya itu terlewat sangat datang pada malam sebelumnya. Saadon menunggu lebih dua jam sebelum naik ke rumahnya di tingkat sembilan.

Dia mahu tahu alasan Saleha. Marah, memanglah marah tapi pada hari itu rasa berkenaan sudah reda. Saadon cuma mahu tahu alasan Saleha.

Kecewa dengan sikap Saleha, Saadon berjalan semula ke mejanya sambil membelek-beleh telefon genggam. Dia mahu menghantar mesej kepada Saleha untuk bertanya.

Dia melihat mesej yang dihantar malam tadi. Dia ternganga sambil menepuk dahi.

"Allah!"

Mata Saadon berpinar-pinar. Baru dia sedar jarinya 'tersasul' menekan huruf "n" dan bukan "k" semasa menulis mesej kepada Saleha.

Sepatutnya "aku" bukannya "anu".

Saadon tidak pasti sama ada persepsi Saleha kepadanya seumpama apa sekarang.

Sumber

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon