Wednesday 7 March 2018

(Video) Kerana Lagu Dusun, Doktor Praveen ‘Jadi Pujaan’ Sekelip Mata.

Tags



Dr. Praveen Abraham kini semakin terkenal dalam kalangan pengguna Facebook, YouTube dan aplikasi WhatsApp yang rata-rata mengagumi kebolehannya. 

Menjadi pujaan di media sosial sekelip mata.

Itu ‘tuah’ seorang pakar perubatan keluarga berketurunan India selepas rakaman videonya menyanyikan lagu berbahasa Dusun viral di laman sosial hingga mendapat perhatian ramai.

Berbeza dari tugas hakikinya di Klinik Kesihatan Manggatal, Dr Praveen Abraham, 36, kini semakin terkenal dalam kalangan pengguna Facebook, YouTube dan aplikasi WhatsApp yang rata-rata mengagumi kebolehannya.

Malah, ada pihak mendakwa, tidak mengetahui kewujudan lagu milik penyanyi asal Fabian William, namun kini semakin diminati ramai selepas klip video Praveen yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, itu viral.

Bekas Pakar Otak di Hospital Queen Elizebeth di sini berkata, klip rakaman video nyanyiannya bertajuk Id Pagandadan dirakam individu tidak dikenali tanpa disedarinya pada majlis perkahwinan rakan di Kampung Inobong, Penampang, 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya menyedari rakaman video berkenaan menjadi viral sejak seminggu lalu selepas dihujani panggilan telefon dan mesej daripada rakan dan keluarga.

“Saya memang terkejut selepas diberitahu mengenai video itu, tetapi gembira kerana ramai memuji dan memberi sokongan kepada saya.

“Tidak kurang juga, ada yang mendakwa saya berbangsa asing dan hanya menghafal lirik lagu itu. Tapi, tidak kisahlah kerana saya berketurunan India dan memang boleh bertutur dalam bahasa Dusun,” katanya ketika ditemui di pejabat NSTP, di sini.

Praveen memberitahu, beliau meminati lagu Id Pagandadan yang bermaksud Yang Ditunggu kerana pengertian lirik dan susunan melodi yang indah.

Katanya, lagu berkenaan menceritakan mengenai penantian dan boleh dikatakan ‘kena’ dengan kisah lampaunya sebelum ini.

“Selain lagu itu, saya meminati lagu bertajuk Kosorou Kopo Nangku Doho nyanyian Jestie Alexius dan lagu Anawau Ulan yang dinyanyikan Mary Intiang,” katanya yang pandai bertutur bahasa Dusun kerana mempunyai ibu angkat daripada etnik berkenaan di Tambunan.

Doktor perubatan yang masih bujang dan berkelulusan pembedahan dari Edinburgh, Scotland itu berkata, sejak ditugaskan di Sabah pada tahun 2006, dia mula jatuh ‘cinta’ dengan negeri ini. - BH ONLINE


Loading...

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon