Friday 10 August 2018

Sejarah Peperangan Etnik Iban Di Sarawak.




Etnik Iban merupakan antara etnik yang terkenal dengan sejarah perang mereka. Bukan sahaja ketika Sarawak dibawah pemerintahan Brooke selama 100 tahun sebaliknya ianya telah berlaku lebih lama daripada itu iaitu sejak mereka mula berhijrah daripada kawasan Sungai Kapuas sehinggalah menjelajahi segenap pelusuk Borneo pada awal abad ke 17 Masihi lagi.

Sejarah perang etnik Iban di Sarawak sebenarnya mempunyai sebab yang tertentu samada melalui perang perluasan wilayah mahupun kerana perang untuk menyelesaikan pertikaian yang berabad lamanya.

Apa yang disajikan di dalam artikel ini adalah hanya secara sepintas lalu sahaja sebagai ruang informasi untuk semua.

1. Perang Iban vs Seru dan Buketan

Di ketika etnik Iban mula memasuki wilayah Sarawak, ada 2 etnik yang menjadi musuh mereka kerana kedua-duanya juga mempunyai tradisi yang sama.

2 etnik itu adalah etnik Seru dan Buketan yang mana pada masa sekarang etnik Seru sudah tiada lagi di dalam dermografi Sarawak manakala Buketan menjadi etnik yang lebih kecil.

Pertembungan mereka dengan beberapa etnik seperti Seru malah juga Buketans telah menyebabkan etnik-etnik ini terpaksa menyelusup masuk menjadi etnik-etnik yang berada di sekitarnya bagi tujuan survival kaum mereka pada ketika itu.

Kekuatan dan teknik perang etnik Iban seringkali tidak dapat diduga oleh mereka sehingga menyebabkan ramai antara mereka terkorban dan kepala mereka menjadi “hadiah” perang kayau etnik Iban suatu waktu dahulu.

Kedua-dua etnik ini yang pada mulanya menetap di kawasan persisiran sungai telah “dihalau” sehingga ke kawasan pedalaman Sarawak.

Menurut ceritanya pada ketika Brooke mula bertapak di Sarawak, kedua-dua etnik ini telah melalui penyusutan yang ketara sehingga Brooke sendiri melabelkan mereka antara etnik yang hilang di Sarawak.

2. Perang Iban vs Kaum Orang Ulu dan Bidayuh

Selain itu, etnik Iban juga boleh dikatakan memerangi sesiapa sahaja di dalam proses perluasan wilayah mereka seperti konflik perang dengan Kaum Orang Ulu di utara Sarawak, etnik Bidayuh di selatan Sarawak dan juga mana-mana etnik sehingga ke wilayah Kapuas.

Peristiwa Bung Bratak misalnya menyaksikan bagaimana Iban Skrang telah memerangi etnik Bidayuh sehingga memaksa Panglima Kulow seorang pahlawan Bidayuh mengejar mereka sehingga ke perkampungan mereka dengan kerjasama daripada Brooke yang baru sahaja menggungguli Kuching pada masa itu.

Ini adalah salah satu contoh perang Iban ke atas etnik Bidayuh yang tercatit di dalam sejarah iaitu sebelum Brooke mula melebarkan sayapnya ke seluruh Sarawak suatu waktu dahulu.

3. Perang Iban vs Pembesar Kesultanan Brunei

Umum mengetahui bahawa wilayah Sarawak suatu waktu dahulu adalah juga wilayah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam.

Pembesar-pembesar dilantik untuk memungut cukai daripada rakyat-rakyat di dalam wilayah kuripan ini sentiasa tidak disukai oleh etnik Iban.

Dan kerana itulah pernah berlaku beberapa rentetan perang dengan pembesar-pembesar ini seperti cerita perang yang melibatkan Sharif Hamid yang telah dibunuh oleh etnik Iban kerana terlalu sombong.

Dan ada juga beberapa orang pembesar yang sebenarnya bersahabat baik dengan etnik Iban sehingga membenarkan ada beberapa pemimpin Iban turut mendapat gelaran Orang Kaya dan juga Panglima.

Ada antara etnik Iban ini yang menjadi tulang belakang kepada penentangan pembesar lantikan Brunei seperti Indra Lela, Sharif Jaafar dan Sharif Sahap yang terkenal dengan perang mereka ke atas Brooke sebelum Brooke berjaya menjadi Sarawak sebagai wilayahnya daripada Kerajaan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu.

Contoh terdekat adalah Perang Patusan iaitu antara perang utama ketika Brooke ingin memperkuatkan pengaruhnya di Sarawak.

Pada ketika itu Iban Undup memihak kepada pembesar Brunei sehingga menyebabkan Brooke yang berang membakar perkampungan Iban Undup kerana berani bersekongkol dengan pembesar lantikan Brunei yang bangun memberontak keatas pemerintahan Brooke di Sarawak.

4. Perang Iban vs Lanun Iranun

Di dalam sejarah juga menyaksikan wilayah Sarawak juga suatu waktu dahulu menjadi kawasan untuk lanun-lanun Iranun bermaharajalela dan seringkali mereka menjarah kawasan perkampungan dengan menjarah apa yang ada serta menculik wanita, kanak-kanak untuk dijadikan hamba.

Hal ini tidak pernah dibiarkan oleh etnik Iban sebaliknya mereka turut memerangi lanun-lanun Iranun ini sehingga mereka cabut lari.

Sejarah memerangi lanun Iranun ini yang paling maha hebat adalah bagaimana seorang pemimpin Iban bersama-sama dengan anak buahnya iaitu Sunggang “Lebor Menoa” telah berjaya menyelamatkan saudagar dari China yang datang berniaga ke Saribas.

Kapal dagangnya hampir dirompak oleh lanun Iranun dan Sunggang “Lebor Menoa” bersama anak buahnya telah menyelamatkan mereka dan memerangi lanun Iranun sehingga mereka bertempiaran lari menuju ke tempat asalnya tanpa pernah singgah lagi untuk merompak selepas itu di wilayah Saribas.

5. Perang Iban vs Iban

Sejarah juga tidak pernah menafikan bahawa etnik Iban juga berperang sesama etnik Iban samada perang tersebut tercetus akibat salah faham mahupun pertikaian atas sesuatu perkara.

Etnik Iban sendiri mempunyai beberapa sub etnik yang diklasifikasikan mengikut dimana penempatan mereka seperti Iban Sebuyau, Iban Balau, Iban Undup, Iban Saribas mahupun Iban Skrang itu sendiri.

Di ketika pengaruh pembesar Brunei masih lagi berkuasa di wilayah Sarawak, ada sesetengah iban yang setia kepada pembesar Brunei dan ada juga yang enggan menerima langsung kedudukan pembesar Brunei di wilayah Sarawak pada masa itu.

Pembesar dilantik oleh Brunei seperti Indra Lela, Wangsa Lingga dan Lela Pelawan misalnya banyak bersandarkan kepada Iban Saribas untuk memerangi Iban Sebuyau yang enggan membayar cukai kepada mereka.

Antara nama-nama besar yang pernah memimpin banyak peperangan sesama sendiri serta mempunyai pasukan tersendiri adalah seperti Iban Saribas dibawah OK Pemancha Dana “Bayang” dari Padeh bersekutu dengan Linggir “Mali Lebu”, Uyut “Bedilang Besi” dari Paku, Bunyau Apai Bakir daripada Entanak dan Unal “Bulan” dari Ulu Layar.

Di bahagian Iban Skrang pula dipimpin oleh Libau “Rentap”, Orang Kaya Gasing dan Orang Kaya Rabong.

Nama Libau “Rentap” telahpun disebut-sebut sebelum Brooke memerintah lagi iaitu sebagai Raja Ulu kerana kegagahannya malah peristiwa Perang Sadok membuktikan Brooke sebenarnya tidak mampu melawan kegagahan seorang pahlawan perang bernama Rentap ini.

Dan Iban Sebuyau pula terkenal dengan pemimpinnya yang bernama Ngelambong dan juga anaknya Temenggong Jugah Lundu yang turut pernah memimpin peperangan sesama etnik Iban suatu waktu dahulu.

Antara contoh perang iban vs iban adalah pada tahun 1834 iaitu Iban Skrang yang dipimpin oleh Orang Kaya Rabong telah memerangi Iban Balau di Bukit Banting. Pada perang itu menyaksikan kemusnahan yang besar di pihak Iban Balau.

Pada tahun 1837 pula menyaksikan perang Iban Saribas dibawah pimpinan OK Pemancha Dana Bayang memerangi Iban Undup.

Perang ini sebenarnya bertitik tolak kepada Iban Undup yang dikatakan telah membunuh Angkum iaitu seorang anak Iban Saribas.

Dikatakan pada masa itu juga Iban Saribas turut bersatu dengan Iban Skrang dan perang ini menyaksikan banyak rumah panjang Iban Undup menjadi mangsa atas hukuman pembunuhan tersebut.

Tahun 1838 pula menyaksikan Iban Balau pula menyerang Iban Saribas di Kalaka. Ini adalah sebenarnya merupakan perang balas dendam memandangkan dikatakan Iban Balau turut menerima kerugian sewaktu perang Iban Saribas terhadap Iban Undup di Banting.

Mereka yang hidup aman damai dan harmoni tidak mencampuri urusan perang iban Saribas ini telah terpalit sama kerana penempatan mereka tidak jauh daripada Iban Undup.

Pada masa itu Iban Balau dibawah Janting telah memerangi rumah panjang besar Orang Kaya Temenggong Tandok di Melupa, Kalaka.

Manakala Iban Balau dibawah pimpinan Ijau “Lang” pula terpaksa mengaku kalah kepada Unal “Bulan” daripada Ulu Layar di sebuah sungai di Saribas.

Kegagahan Iban Saribas dibawah pimpinan Unal tidak mampu ditandingi oleh Iban Balau dibawah Ijau “Lang” pada masa itu.

Dan sekali lagi pada tahun 1839 juga terheret daripada perang 1838, perasaan dendam dan ingin menuntut bela itu ada yang akhirnya Iban Balau sekali lagi menyerang Iban Saribas yang mendiami Paku dan juga di Rimbas.

Peperangan yang dikatakan lokasinya di Nanga Undai itu menyaksikan ramai Iban Saribas yang tinggal di Rimbas terkorban seperti anak-anak Orang Kaya Antau dan Gun yang merupakan antara pemimpin Iban Rimbas pada masa itu.

Apa yang disajikan hanyalah sepintas lalu peperangan Iban sebelum Brooke mula mendominasi Sarawak suatu waktu dahulu.

Etnik Iban sebenarnya gah dengan perang dan tiada siapa yang boleh menidakkan sejarah ini.

Selain daripada itu kerana peperangan inilah Brooke melihatnya sebagai satu peluang kerana mana mungkin dia boleh memenangi setiap perangnya di dalam penentangan serta perluasan wilayahnya pada ketika itu.

Peluang inilah yang dinamakan oleh Brooke, "Only Dayaks Can Kill Dayak" iaitu dengan mengadu domba sesama etnik Iban yang sejak azalinya sudah tidak boleh bersatu-padu.

Kerana itulah ada etnik Iban sendiri yang menyebelahi Brooke dan sanggup menikam belakang etnik Iban yang lain untuk kepentingan serta kebajikan mereka sendiri.

Satu kenyataan yang pahit untuk ditelan.

Sumber

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon