Wednesday 24 October 2018

Jika Teksi Takut Untuk Berubah, Bersedialah Untuk Pupus Ditelan Teknologi.

Tags




Polemik berkaitan perkhidmatan teksi dan e-hailing khususnya Grab tiba-tiba menjadi perbualan hangat di mana-mana kebelakangan ini, yang bermula apabila sekumpulan kecil pemandu teksi bertindak kurang sopan, menjerit-jerit dan meninggalkan majlis dalam suatu program dialog bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di Langkawi.

Berikutan itu Tun Mahathir yang seperti kesal dan merajuk lantas menawarkan diri untuk meletakkan jawatan jika cakapnya untuk mencari penyelesaian dan mewujudkan persaingan yang adil antara teksi dan Grab tidak mahu didengari.

Susulan daripada sikap kurang sopan yang ditunjukkan oleh pemandu-pemandu teksi terhadap seorang Perdana Menteri itu, kemudiannya bertimbun-timbun kecaman dilontarkan terhadap golongan itu, termasuk oleh beberapa bekas menteri.

Rata-ratanya melihat pemandu teksi sebagai golongan yang tidak mahu berubah dan hanya tahu mendesak agar kerajaan memenuhi tuntutan mereka menghapuskan perkhidmatan Grab yang merupakan saingan kepada perkhidmatan teksi.

Realitinya, Grab adalah perkhidmatan yang sudah diterima di seluruh dunia, malah sangat dialu-alukan oleh orang ramai kerana ia lebih mudah, murah, mesra dan tiada karenah menolak pelanggan atas alasan jalan sesak, destinasi yang jauh, nak bertukar shif dan seumpamanya.

Kajian atau undian awam melalui pelbagai medium media sosial jelas memperlihatkan kira-kira 95 peratus pengguna lebih memilih perkhidmatan Grab berbanding teksi.

Janji Tun Mahathir bahawa kerajaan sedang merangka dasar untuk mewujudkan persaingan yang adil antara teksi dan Grab seharusnya dialu-alukan oleh pemandu teksi, malahan tempoh masa setahun yang dijanjikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk peraturan baru berkaitan perkhidmatan e-haling dikuatkuasakan sepenuhnya, hendaklah juga ditunggu dengan penuh kesabaran.

Peraturan baru yang ditetapkan itu ialah menghendaki pemandu e-hailing memiliki lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam atau PSV, pemeriksaan kenderaan berkala di Puspakom serta perlindungan insurans.

Dalam hal ini, sementara diakui bahawa perkhidmatan Grab tidak mampu dihalang kewujudannya, pemandu atau syarikat-syarikat teksi juga seharusnya bertindak proaktif dalam usaha memastikan kelangsungan perkhidmatan mereka tidak pupus ditelan zaman yang sentiasa bergerak pantas, sekali gus menjadikan rezeki untuk menanggung keluarga tidak putus di pertengahan jalan.

Sikap pemandu teksi yang tidak putus-putus mendesak kerajaan memenuhi kehendak mereka agar menghapuskan Grab, tetapi mereka sendiri tidak mahu berubah dan masih ditakuk lama, adalah sesuatu yang sangat dikesali.

Mereka seharusnya mengambil iktibar daripada tenggelamnya jenama Nokia, Motorola dan Blackberry kepada Iphone dan Samsung, disebabkab tidak mahu cepat berubah seiring dengan peredaran semasa.

Pemandu teksi seharusnya duduk berbincang dengan kerajaan atau sesama sendiri untuk sentiasa tampil lebih baik dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Daripada menjerit-jerit nak jatuhkan kerajaan atau minta menteri letak jawatan, pemandu teksi sepatutnya menjadikan kehadiran Grab untuk mereka lebih ligat berfikir bagaimana untuk berubah dan tidak terus dikongkong oleh gaya pemikiran analog.

Oleh kerana pengguna mahukan perubahan dan lebih memilih Grab iaitu suatu perkhidmatan yang mudah digunakan melalui aplikasi dalam telefon pintar di tangan, pemandu teksi sebaik-baiknya turut sama berubah ke arah itu.

Mereka mesti pantas "mengGrabkan" perkhidmatan teksi yang sedia ada dengan membangunkan aplikasi sendiri supaya dapat sama-sama bersaing dengan perkhidmatan e-hailing yang lain.

Sehingga ini terdapat satu aplikasi e-hailing yang dikenali "CALLME" yang dibangunkan oleh Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia atau Petekma bersama Angkasa yang dilancarkan tidak lama sebelum ini.

Namun demikian, majoriti pemandu atau pengusaha teksi masih lagi bebas dan tidak terikat atau belum sedia mewujudkan apa-apa aplikasi, sebaliknya kekal berkeliaran atau menunggu di tepi-tepi menanti penumpang seperti gaya lama.

Dengan dunia yang sudah berubah, pemandu dan pengusaha teksi juga tiada pilihan lain selain berubah sama dengan sedia bersaing membangunkan aplikasi sendiri agar perkhidmatan mereka mampu bergerak maju serta berkembang seiring dengan peredaran zaman.

Kementerian Pengangkutan difahamkan sangat mengalu-alukan dan sedia membantu pengusaha atau pemandu teksi yang mahu berubah untuk membangunkan aplikasi sendiri bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Cuma, sebaik ada aplikasi itu nanti, sikap dan perangai pemandu teksi hendaklah juga berubah sama.

Mereka mesti bersikap mesra pelanggan, tidak memilih penumpang, bersopan dan tidak kurang pentingnya, kereta yang digunakan juga hendaklah sentiasa bersih, kemas serta berbau wangi.

Sumber

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon