Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Sunday, 10 June 2018

Malaysia Bakal Memiliki Kereta Nasional Baharu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama

TOKYO: Malaysia akan memulakan projek kereta nasional baharu menerusi kerjasama dengan negara serantau lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24 hari ini, Dr Mahathir berkata Proton kini bukan lagi kereta nasional kerana sebahagian besar saham syarikat terbabit kini dimiliki syarikat China, Geely.

“Aspirasi kita sekarang ialah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau,” katanya.

Tambah beliau, Thailand dan Jepun adalah antara negara serantau yang memiliki kepakaran dalam pembuatan kenderaan.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengenai potensi pembangunan industri baharu Malaysia dan bagaimana pelabur asing dapat melengkapkan senario itu.

“Kita mungkin terpaksa mengharapkan rakan asing pada permulaan tetapi lambat laun kita berharap pekerja tempatan sendiri dapat menguasai teknologi yang diguna pakai,” katanya. - BH ONLINE

Wednesday, 6 June 2018

Jumat Serah Dokumen Berkaitan Salah Guna Kuasa Musa kepada SPRM.

Azhar (kanan) dan Jumat (kiri) ketika sidang media berkenaan. - Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: “Saya telah laporkan kepada SPRM berhubung salah guna kuasa Tan Sri Musa Aman dalam pemberian tanah kepada anak saudaranya.”

Demikian ditegaskan Mantan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris hari ini, yang mendedahkan beberapa penyelewengan yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman semasa menjadi Ketua Menteri.

Menurut Jumat, Musa telah telah meluluskan beberapa projek berkaitan pemilikan tanah kepada ahli keluarganya dan ini adalah bercanggah dengan perundangan dan jelas menunjukkan ahli politik itu menyalahgunakan kuasa beliau.

“Untuk makluman ada beberapa kawasan yang telah dipohon oleh anak anak saudara Tan Sri Musa Aman, sebagai contoh di dekatlampu isyarat Rampaian seluas 7 hektar telah diberikan kepada anak saudara dia dan satu lagi lima ekar dekat Likas Square.

“Likas Square ini sepatutnya dia state rezab dia bukan state land, juga diberikan kepada anak saudara dia dan all the document with me dan ini sepatutnya tidak boleh dilalukan kerana state rezab ini dia untuk state agency punya development,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Berbuka Puasa di Kediamannya, di Likas, pada Rabu.

Jumat menyatakan, beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan penyalahgunaan kuasa itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bulan lalu untuk diambil tindakan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Azhar Matussin.

Jumat turut mendedahkan satu lagi kes melibatkan penanaman kelapa sawit seluas 40,000 ekar yang mana tanah itu sebelum ini milik Yayasan Sabah tetapi ditukar kepada rezab negeri yang seterusnya diserahkan kepada satu syarikat untuk melaksanakan penanaman kelapa sawit.

Katanya, pihak berkuasa harus melakukan siasatan terhadap pemilik syarikat yang diberikan keistimewaan ‘luar biasa’ dalam mengendalikan projek tanah di negeri ini.

“Saya difahamkan bahawa kawasan ini telah ditukarkan kepada state rezab land dan selepas ditukar kepada state land didapati bahawa sudah ada individu pemilik syarikat yang kini sudah pun fully planted dan ditanam dengan kelapa sawit seluas 40,000 ekar.

“Kita mahu tahu siapa dia individu ini, pemilik-pemilik syarikat ini yang telah diberikan keistimewaan untuk menempatkan 40,000 ekar kawasan pertanian.

“Dan sudah tentunya kita berminat untuk mengetahui latar belakang pemilik syarikat ini yang dilihat begitu berkeupayaan membangunkan tanah seluas 40,000 ekar dalam waktu yang singkat,” katanya.

Thursday, 24 May 2018

Perkhidmatan Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn.Bhd Digantung Sementara.

Junz (dua dari kanan), Zulkifli (dua dari kiri) serta ​Penasihat Politik kepada ​Menteri Pertanian dan Industri Makanan, ​Datuk David Chong (kiri) dan ​Setiausaha Politik kepada ​Menteri Pertanian dan Industri Makanan , ​Rakam Sijim (kanan) di sidang media kelmarin.

KOTA KINABALU: Perkhidmatan Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn Bhd digantung sementara kerana gagal mematuhi terma dan syarat kontrak pendalaman 30 kilometer (km) daripada 70 ​km sungai di Kota Belud.

​​Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Junz Wong berkata syarikat berkenaan gagal mengemukakan tiga dokumen dan turut gagal melantik sub kontraktor di bahagian Bidang Kritikal.

“Melalui Jabatan Perairan dan Saliran Sabah, satu surat penggantungan dan surat amaran pertama telah diserahkan kepada syarikat tersebut kerana gagal mematuhi terma dan syarat surat pemberian ‘Projek Pengorekan dan khas Pengambilan Batu dan Pasir di Sungai yang Terjejas akibat Gempa Bumi di Kota Belud’ iaitu dokumen Bon Prestasi dalam bentuk Jaminan Bank; Polisi Insurans; Surat Pelantikan Perunding serta gagal melantik sub kontraktor di Bidang Kritikal.

“JPS juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Belud pada minggu lepas berkenaan perkara ini dan kontrak syarikat berkenaan mungkin akan ditamatkan, tertakluk kepada nasihat dari Dewan Peguam Negara.

“Dalam pada masa yang sama kita juga akan menyediakan reka bentuk dan mekanisme baharu bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan Kota Belud,” katanya dalam satu sidang media khas di kementerian berkenaan​,​ kelmarin.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri terdahulu telah meluluskan dan melantik Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn Bhd melaksanakan projek tersebut dan turut melantik lapan sub kontraktor di bawah projek berkenaan.

Menurut Junz, dua jawatankuasa telah ditubuh untuk menyelia projek berkenaan iaitu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh JPS Sabah dan turut dilantik sebagai Agensi Pelaksana.

“Surat penganugerahan kontrak telah dikeluarkan yang dikeluarkan pada 27 Februari 2018 dengan memiliki tapak pada 20 Mac 2018 hingga 19 Mac 2021 selama ​tiga​ tahun dengan anggaran kos projek berjumlah RM 18,835,400 yang telah dipersetujui untuk dibayar secara ‘in kind’.

“Sejak permulaan projek, Jawatankuasa Teknikal telah mengadakan beberapa mesyuarat untuk memantau dan memastikan projek tersebut berjalan mengikut pelan mengikut keperluan kontrak,”​ ​ujarnya.

Hadir sama ​ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perindustrian Makanan, Zulkifli Harith. - PENERANGAN

Tuesday, 22 May 2018

Peminjam PTPTN Yang Bergaji Bawah RM4000 Tak Perlu Bayar Hutang Berkuatkuasa Serta-merta.


PUTRAJAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih tidak memperoleh gaji RM4,000 sebulan dikecualikan daripada membuat sebarang bayaran.

Demikian kata Menteri Pendidikan baharu, Dr. Maszlee Malik sambil menegaskan, langkah itu berkuat kuasa serta-merta sebagai menunaikan janji pilihan raya yang dibuat Pakatan Harapan (PH) dalam masa 100 hari selepas menang pilihan raya.

“Di peringkat pengajian tinggi, kita akan memberikan tumpuan sebab kita janji dalam 100 hari untuk meletakkan syarat kepada pembayar PTPTN iaitu mereka yang belum mencapai gaji RM4,000 mereka tak perlu membayar.

“Cuma kita perlu berhubung dengan pihak imigresen untuk menarik sekatan perjalanan mereka. Itu antara janji yang perlu kita tunaikan dan jadi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah-Terima Tugas bekas Menteri Pendidikan Tinggi kepada beliau di sini hari ini.

Manifesto PRU-14 PH tidak menawarkan pemansuhan hutang PTPTN seperti mana yang dijanjikan pada PRU-13 sebaliknya, manifesto PH tetap meneruskan PTPTN tetapi tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.

Ditanya sekiranya gaji peminjam PTPTN mencecah RM4,000 dalam masa beberapa tahun akan datang, beliau berkata, mereka dialu-alukan membuat bayaran sebagai tanda tanggungjawab.

“Tidak perlu bukan tak payah, kalau mereka nak bayar lagi bagus (gaji lebih RM4,000). Kita ingin wujudkan dalam kalangan warga Malaysia sikap bertanggungjawab.

“Bila gaji mereka sampai RM4,000 atau tak sampai mereka nak bayar pun dialu-alukan. Itulah sikap yang sepatutnya ada,” katanya.

Katanya lagi, penangguhan bayaran itu dibuat dengan mengambil kita keadaan ekonomi semasa dan tekanan rakyat terhadap kos sara hidup meningkat.

“Memandangkan keadaan ekonomi yang teruk pada hari ini, maka kita letakkan RM4,000 itu supaya bila mereka sampai tahap itu, mereka boleh membuat pembayaran,” katanya lagi. - MalaysiaGazette

Rumah Wanita Didakwa Ketua Perisik Najib Diserbu.


KUALA LUMPUR: Sebuah rumah milik pegawai wanita berpangkat tinggi yang dipercayai ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserbu hujung minggu lalu.

Menurut laporan Malaysia Decides, wanita tersebut merupakan ketua unit pasukan perisik, Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia, di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan telah menerima beberapa dokumen penting dua hari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU14) baru-baru ini.

Wanita itu dilaporkan sedang bercuti sementara menunggu siasatan ke atas Najib.

Portal berita itu turut melaporkan bahawa polis Bukit Aman turut menyerbu rumahnya di Seri Kembangan.

Mereka juga menyita dua buah bangunan di Putrajaya dan Jalan Bellamy yang dipercayai digunakan untuk menjalankan operasi tersebut.

Bagaimanapun, tiada dokumen ditemui.

Menurut sumber kerajaan yang tidak mahu dikenali memberitahu Malaysia Decides, pasukan itu mendapat pembiayaan besar-besaran dan digunakan untuk mengesan pengkritik kerajaan di dalam dan luar negara.

Pegawai tinggi itu yang mempunyai 300 orang anggota hanya melaporkan kepada Najib sahaja.

"Ia pada dasarnya sebagai agensi pengintip, dan semua aktivitinya untuk menjaga kuasa Najib," lapor portal itu. - mStar Online

Saturday, 19 May 2018

WARISAN Tuntut Hutang RM1 Trilion Kerajaan Persekutuan Kepada Sabah.


SEMPORNA: Parti Warisan Sabah telah mencetuskan permintaan kejutan ke atas polemik sepanjang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), mendakwa bahawa negeri itu berhutang kelebihan khas berjumlah RM1 trilion yang masih belum dipenuhi.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata RM1 trilion yang terhutang kepada Sabah dikira dari tahun Sabah menyertai Malaya dan Sarawak untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

"Semua peruntukan yang berkaitan dengan Sabah di bawah MA63 mesti dipenuhi. Antaranya adalah hak istimewa 40%. Dikira dari tahun 1963 sehingga kini, ia mungkin berjumlah kira-kira RM1 trilion.

"Ini tidak termasuk peruntukan belanjawan tahunan oleh kerajaan persekutuan ke Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leiking hak 40% dirujuk telah dinaikkan pada bulan Jun oleh aktivis MA63 Zainnal Ajamain, yang mengatakan hak Sabah termasuk pendapatan bersih 40% daripada cukai yang diperoleh dari negeri ini.

Zainnal berkata cukai seperti itu termasuk cukai korporat yang dikenakan ke atas syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sabah, cukai eksport ke atas petroleum mentah, cukai import ke atas produk petroleum, dan dividen daripada hasil Petronas yang diperolehi daripada operasi Sabah.

"Hak negara untuk mengutip 40% pendapatan bersih serta kutipan cukai eksport dan import dijamin di bawah Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan tetapi kami tidak berubah mengenai ini," katanya.

Leiking berkata adalah penting bagi Sabah untuk dianggap sebagai rakan kongsi yang sama dalam pembentukan Malaysia dan bukan hanya salah satu daripada 13 negeri dalam persekutuan itu.

"Sabah sepatutnya bersamaan dengan Tanah Melayu. Kita harus dihormati dan tidak digunakan dengan cara apa pun untuk kepentingan politik atau kemudahan, "katanya kepada lebih dari 1,000 orang yang berkumpul di Jalan Bubul di bandar pantai timur itu pada hari Ahad.

Warisan, katanya, berharap lebih ramai penduduk di pantai timur Sabah akan menyedari MA63 seperti yang tinggal di pantai barat.

Leiking, yang juga Ahli Parlimen Penampang, ingat bahawa apabila idea Malaysia mula-mula dibangkitkan, orang-orang di pantai timur Borneo Utara itu mengalu-alukan cadangan itu lebih daripada rakan-rakan mereka di pantai barat.

Oleh itu, adalah wajar bahawa pantai timur Sabah harus menuntut apa yang disebabkan oleh Sabah di bawah MA63, "katanya.

"Ini adalah masa untuk pantai timur dan barat untuk menggabungkan pasukan dan bersatu sebagai satu dalam usaha kami untuk mendapatkan peruntukan MA63 untuk Sabah," katanya.

Ceramah itu dianjurkan oleh ketua Warisan Pemuda Azis Jamman dan biro maklumat parti. Acara itu termasuk taklimat oleh aktivis MA63, Michael Goviind.

Terdahulu, Leiking melawat tapak api baru-baru ini di Kampung Panji di mana tujuh buah rumah dimusnahkan, dan diedarkan bantuan kepada mangsa.

BACA INI JUGA:
Sumber

Thursday, 17 May 2018

Musa Aman Saman Mohd Shafie, TYT.

MUSA hari ini memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, hari ini memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.

Saman berkenaan juga mendakwa bahawa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Peguam mewakili Tan Sri Musa Aman, Tengku Fuad Tengku Ahmad, berkata writ saman itu juga menghendaki pengisytiharan bahawa semua tindakan oleh Mohd Shafie yang dikatakan sebagai Ketua Menteri ketika ini sebagai batal, tidak sah dan tiada kesan.

Katanya, mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, kedua-dua defendan mempunyai tempoh masa 14 hari untuk memberi maklum balas kepada writ berkenaan.

Musa mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar pada lewat malam 10 Mei lalu berdasarkan majoriti mudah 31 kerusi menerusi kerjasama BN-Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Dua hari kemudian iaitu pada Sabtu lalu, Mohd Shafie pula mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar selepas mendapat majoriti berikutan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyatakan sokongan dan bekerjasama dengan pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN) - Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan. - BHarian

Sunday, 6 May 2018

Uqasha Senrose Ditahan Polis Bersama 53 Biji Pil Eramin 5.

Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelakon Uqasha Senrose ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan 53 biji pil eramin 5 bernilai RM660 dalam beg tangan Chanel miliknya selepas selebriti itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail di sini kelmarin.

Kemalangan pada pukul 11.45 pagi itu berlaku ketika pelakon wanita itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover seorang diri telah melanggar kenderaan Honda BRV dipandu seorang lelaki.

Satu sumber berkata, selepas kemalangan itu, Uqasha Senrose atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, telah dibawa ke balai polis TTDI untuk siasatan.

“Semasa pemeriksaan ke atas pelakon itu, polis menemui enam keping aluminium foil berwarna merah yang kesemua mempunyai 53 biji dadah disyaki jenis eramin 5. Dadah tersebut ditemui dalam beg berjenama mewah selebriti itu,” kata beliau semasa dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang dihubungi mengesahkan penahanan seorang pelakon wanita bersama 53 pil dadah jenis eramin 5 bernilai RM600.



Menurut Mazlan, ujian air kencing yang dijalankan terhadap pelakon wanita itu mendapati ia negatif dadah dan artis tersebut kemudian dilepaskan selepas keterangannya direkodkan.

“Polis akan menghantar 53 pil disyaki dadah eramin 5 ke Jabatan Kimia manakala kertas siasatan berkaitan kemalangan dan penemuan dadah dalam beg pelakon itu akan dihantar kepada Jabatan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” kata beliau.

Katanya, kes berkaitan penemuan dadah itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Uqasha ketika dihubungi tidak memberi sebarang maklum balas berhubung laporan polis yang mendakwa dirinya memandu dalam keadaan khayal dan berjanji untuk menghubungi semula.

“Saya akan hubungi semula,” ujarnya. - K! ONLINE

Thursday, 19 April 2018

KKM Arah Sardin Dalam Tin Jenama TL (Tan Lung) Dan TLC Ditarik Balik.


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengarahkan syarikat pengimport sardin dalam tin jenama TL Tan Lung dan TLC menarik balik produk berkenaan daripada pasaran negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, analisis yang dilakukan keatas produk dari China terbabit mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.

“Hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari China tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Syarikat pengimport terlibat telah diarah memanggil balik produk tersebut. Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini tular di laman media sosial berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.

Laporan menyatakan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk diimport dari negara China itu.

Noor Hisham berkata, jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my.

“Orang ramai boleh juga melayari laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya. - Mynewshub

Tuesday, 17 April 2018

Jamal Tak Jadi Bertanding.


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos pada Selasa berkata beliau tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum kali ini.

Jamal berkata beliau mendapat cadangan untuk bertanding di kawasannya atau kawasan lain tetapi beliau memilih untuk tidak bertanding.

Sebaliknya, beliau akan bersama-sama jentera Barisan Nasional (BN) dalam membantu calon-calon BN, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Selasa berhubung dakwaan penggunaan akaun palsu media sosialnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.

Terdahulu, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia membuat laporan polis berkaitan fitnah isu perkauman yang disebarkan di media sosial menggunakan akaun Facebook palsu nama beliau. - BERNAMA

Tuesday, 10 April 2018

Tarikh Mengundi PRU14 Jatuh Pada 9 Mei.


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRU14 pada 28 April, manakala hari pengundian ditetapkan pada 9 Mei.

Tarikh pengundian awal pula pada 5 Mei, sementara tempoh berkempen ialah 11 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 8 Mei 2018.

SPR turut menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan pada 11 April.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Dewan Rakyat pada 7 April dan diikuti oleh pemakluman rasmi oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung pembubaran tersebut serta Speaker-speaker Dun bagi Dun-dun semua negeri.

Katanya, seramai 14,940,624 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan sehingga suku keempat 2017.

Daripada jumlah tersebut, 14,637,716 orang merupakan pemilih biasa, 300,255 orang pemilih awal (tentera dan pasangan/polis) dan 3,653 orang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR turut melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRU14.

Manakala untuk tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Seramai 259, 391 petugas daripada kalangan orang awam turut dilantik untuk pengendalian proses PRU14 dan sebanyak 8, 989 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi semua 28, 996 tempat mengundi (saluran) dan dianggarkan memerlukan belanjawan sebanyak RM500 juta.

Mohd Hashim membuat pengumuman itu selepas SPR mengadakan mesyuarat khas selama dua jam bermula jam 10 pagi ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU14.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 7 April bagi memberi laluan kepada PRU14. - Sinar Harian

Saturday, 7 April 2018

Boleh Guna Logo PKR Tanpa Kelulusan SPR.


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), menafikan ada memberi kenyataan, Pakatan Harapan (PH) perlu mendapatkan kelulusan sebelum menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, apa yang dinyatakan ketika sidang media selepas Simulasi Bilik Gerakan PRU14 adalah sekiranya status pendaftaran atau simbol PH yang tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta lambangnya masih tidak berdaftar dengan SPR, maka ianya tidak boleh digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai bahan kempen.

“Sekiranya mereka bercadang bertanding atas tiket PKR, hanya simbol parti itu sahaja yang dibenarkan diguna semasa PRU-14 untuk tujuan kempen, manakala simbol-simbol parti lain tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen termasuk simbol DAP, Amanah dan PPBM,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, ulasannya sebelum ini disalah erti seolah-olah keputusan untuk penggunaan lambang PKR oleh ahli parti lain untuk tujuan pilihan raya mesti mendapat kebenaran daripada SPR.

Katanya, ingin ditegaskan kebenaran, untuk menggunakan simbol PKR oleh calon yang ingin bertanding atas tiket parti itu adalah di bawah bidang kuasa parti itu. - Astro Awani

Thursday, 5 April 2018

PPBM Bubar Secara Kekal Jika Gagal Patuhi ROS Dalam 30 Hari.


KUALA LUMPUR 5 April - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diarah supaya dibubarkan sementara ekoran penubuhannya tidak menepati undang-undang pendaftaran pertubuhan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Surayati Ibrahim mengesahkan mengeluarkan arahan pembubaran sementara ekoran kegagalan parti itu membekalkan dokumen dalam tempoh yang diberikan.

Katanya, PPBM telah dimaklumkan mengenai pembubaran tersebut hari ini.

Arahan itu berdasarkan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 yang memberi kuasa kepada Pendaftar untuk mengeluarkan kuasa pembubaran sementara sesebuah pertubuhan jika gagal membekalkan butiran yang diperlukan.

Pembubaran pendaftaran Parti Pribumi Melayu BERSATU (BERSATU) akan kekal jika parti berkenaan gagal mematuhi permintaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa 30 hari.

Surayati Ibrahim juga berkata, BERSATU boleh memfailkan rayuan dalam tempoh berkenaan.

"Saya nyatakan di sini bahawa PPBM (BERSATU) gagal serahkan sepenuhnya segala butiran, maklumat dan dokumen yang diminta sebagai mana notis di bawah Section 14(2) Socieities Act 1966," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat ROS di Putrajaya petang ini.

Surayati berkata notis untuk BERSATU memberikan maklumat yang berkaitan dengan parti itu telah dikeluarkan pada 28 Feb.

"Setelah tamat tempoh 30 hari tarikh pembubaran sementara, sekiranya ada rayuan dan ditolak, maka perintah pembubaran akan jadi mutlak dan PPBM akan dibatalkan pendaftarannya," tambahnya.

PPBM ditubuhkan pada 8 September 2016 dan bakal bergabung dengan DAP, PAN dan PKR pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14) di bawah Pakatan Harapan.

Pembubaran itu menimbulkan tanda tanya di bawah lambang parti mana pemimpin mereka akan bertanding pada PRU14 nanti. - Utusan Online & Malaysiakini

Thursday, 22 March 2018

Brunei Cadang Bina Kereta Api Laju Rentas Borneo Libatkan Sarawak, Sabah Dan Kalimantan.

Gambar hiasan

BANDAR SERI BEGAWAN: Cadangan pembinaan kereta api laju rentas Borneo melibatkan Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan Kalimantan oleh anggota majlis mesyuarat tempatan Pengiran Haji Mohamed Pengiran Haji Osman @ Othman mendapat respons baik.

Gagasan tersebut disuarakan pada hari kesebelas persidangan Majlis Mesyuarat Negara Isnin lepas.

Di Brunei, Majlis Mesyuarat Negara bertindak mirip Parlimen diwujudkan 2004 di negara Melayu Islam Beraja.

Menteri Perhubungan Brunei Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dalam kenyataan beliau dilaporkan akhbar Brunei, Media Permata pada Selasa merespons bahawa perkara tersebut dapat dibincangkan pada platform Kawasan Pertumbuhan Asean Timur- Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).

Menurut beliau, cadangan ini mungkin terlalu awal untuk ditetapkan, tetapi ia dapat dibincangkan melalui platform pertemuan berkala kementerian melalui BIMP-EAGA itu yang sudah wujud 1994.

Memetik mynewshub, projek mega ini pernah dicadangkan oleh Malaysia pada 2000 sejauh 3,640 kilometer menelan kos sekitar RM30 bilion.

Awalnya ia dirancang menghubungkan Sabah: Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Beaufort; dan Sarawak: Miri, Bintulu, Serian, Sibu, Kuching.

Selain menghubungi Kalimantan: Sampit, Balikpapan, Pontianak, Samarinda, Palangkaraya; dan Brunei: Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, pelabuhan laut dalam Muara.

Projek tersebut bagaimanapun belum dapat diteruskan.

Pada 2015, menurut mynewshub, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) mengungkit semula projek ini ketika merasmikan sistem kereta api Borneo sepanjang 398 kilometer menelan kos AS$3.7 bilion.

Jokowi turut bercadang menyambungkan laluan kereta api tersebut meretasi rantau BIMP-EAGA. -Sarawakvoice

Wednesday, 21 March 2018

Mais Gantung Tauliah Mengajar Ustaz Ahmad Dusuki.


SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggantung tauliah mengajar pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkuat kuasa serta merta.

Pemakluman itu dibuat menerusi satu surat rasmi yang ditandatangani Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais, Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam surat yang tular di media sosial hari ini menyebut, penggantungan itu adalah bagi memberi laluan kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak Mais berkaitan aduan serta laporan media terhadap Ahmad Dusuki mengikut kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) Tahun 2008 Pindaan 2015.

Surat itu juga menyebut, Ahmad Dusuki digantung daripada mengajar agama atau apa-apa perkara berkenaan Islam di dalam negeri Selangor di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 pindaan 2015.

"Kedudukan Ahmad Dusuki selaku pemegang tauliah akan diputuskan selepas ini oleh Jawatankuasa Tauliah yang akan bersidang dalam tempoh masa terdekat," tulis surat tersebut.

Surat sama juga menyebut, sebarang pelanggaran terhadap penggantungan ini membolehkan Ahmad Dusuki dikenakan tindakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. -Sinar Harian

Wednesday, 14 March 2018

Beri Markah Penilaian Rendah Juga Adalah Salah Satu Bentuk Penderaan - CUEPACS.


SHAH ALAM: Bukan hanya majikan, malah pegawai penilai yang memberi markah rendah tanpa alasan munasabah disarankan supaya dikenakan tindakan oleh kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, tindakan itu boleh memberikan tekanan kepada pekerja bawahan.

“Kami pernah bertemu dengan mereka yang diberikan markah penilaian prestasi rendah dan mereka adukan tentang perkara ini. Pihak atasan letakkan pekerja kelas bawah dalam keadaan tertekan.

Mereka tidak mengambil kira situasi dan keadaan semasa pekerja bawahan. Kalau buat silap sikit terus dapat markah rendah dalam prestasi,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Menyifatkan ia sebagai suatu kaedah baharu untuk ‘mendera’ pekerja katanya, pegawai yang mempunyai kuasa memberi penilaian sering menjadikan markah prestasi sebagai ugutan kepada pekerja.

“Kumpulan pekerja bawahan kebiasaannya dipantau habis-habisan. Pihak atasan tetap tidak kira susah payah pekerja bawahan.

“Kadangkala pihak atasan atau pegawai buat silap lagi teruk tapi tidak diambil tindakan. Ini penderaan mental kepada penjawat awam,” katanya.

Menurutnya, ‘budaya’ seumpama itu tidak dapat mewujudkan keharmonian antara pegawai dan pekerja bawahan.

“Kerajaan patut ambil tindakan terhadap pegawai yang memberikan markah prestasi rendah kepada kakitangan tanpa alasan kukuh.

“Manakala pekerja yang diberikan penilaian rendah perlu dinilai semula oleh pegawai penilai baharu,” katanya.

Sinar Online sebelum ini melaporkan kerajaan akan mengenakan tindakan ke atas majikan yang memberikan tekanan kepada pekerjanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap perkara tersebut, selain menegaskan untuk menjalankan siasatan termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak menghargai pekerja mereka.

Loading...

Tuesday, 13 March 2018

Tun Mahathir Mau Tanding Di Bawah Tiket DAP?

Foto: Malay Mail

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sanggup bertanding di bawah tiket mana-mana parti politik dalam Pakatan Harapan termasuk DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibubarkan.

Pengerusi PPBM itu berkata perkara itu antara pilihan yang sedang difikirkan susulan kemelut dalam partinya yang berdepan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Saya terbuka, malah saya sedia bertanding untuk DAP, mungkin presiden DAP," katanya dengan sinis pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada PPBM akan meletakkan calonnya dan bertanding menggunakan tiket rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang pada PRU14 jika parti itu dibubarkan.

Ditanya sama ada kemelut yang melanda PPBM itu menjadi halangan bagi pakatan itu pada PRU nanti, Dr Mahathir berkata: "Memang, jika mereka (RoS) tidak meluluskannya, akan jadi sukar, tetapi kami akan berkempen sebagai Pakatan Harapan.”

Baru-baru ini, RoS mengeluarkan notis kepada PPBM mengkehendaki parti itu menyerahkan maklumat serta dokumen termasuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta penyata kewangan parti kepada jabatan itu. -BERNAMA

Sunday, 11 March 2018

Parlimen Mungkin Dibubar Lebih Awal.


KUALA LUMPUR: Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 29 Mac ini diawalkan, sekali gus memungkinkan Parlimen dibubarkan akhir Mac atau awal April bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Sumber berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya pada 26 Mac.

Ia dilakukan sebaik selepas berakhirnya perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat sekarang, selesai.

Menurut sumber itu lagi, usul berkenaan mulanya dijadualkan untuk dibentang pada 29 Mac, tetapi diawalkan sebagai persiapan untuk menghadapi PRU-14.

PM dijangka bentang usul kali pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan usul itu untuk bacaan kali pertama.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata usul berkenaan perlu dibahas dan diluluskan dengan undian majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 Ahli Parlimen.

"Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara dan Perdana Menteri akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda," katanya, ketika dihubungi.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan, kerana tidak membabitkan tambahan jumlah kerusi.

Jika membabitkan tambahan jumlah kerusi Parlimen, maka Dewan Rakyat perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk majoriti dua pertiga.

Tiada tempoh ditetapkan untuk dapat perkenan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, pula ketika dihubungi menjelaskan tiada tempoh ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

"Ianya akan dikuat kuasa pada tarikh Seri Paduka Baginda bersetuju dan (terus) diwartakan," katanya.

Mengenai PRU-14 beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir persiapan dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa.

Satu lagi sumber memberitahu, sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sempadan bahagian pilihan raya baharu akan berkuat kuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan penggal keenam Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 20 hari dan akan berakhir 5 April.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Parlimen akan dibubarkan terus sebaik Dewan Rakyat meluluskan RUU persempadanan semula kawasan pilihan raya. -BH Online

Monday, 5 March 2018

Maut Selepas Digilis Dan Diseret Sejauh 50 Meter.


Sungguh menyayat hati apabila pelajar perempuan menanggung azab akibat digilis dan diseret sebuah lori sejauh kira-kira 50 meter dalam kemalangan di Jalan Balai Besar-Alur Tempoyak di Dungun, semalam.

Kejadian pada 6.25 petang itu menyebabkan mangsa Nur Syuhaiba Shafiee, 15, maut di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Besar itu menunggang motosikal Honda EX5 bersendirian dari rumahnya di Perumahan Taman Rakyat untuk ke rumah neneknya di Kampung Batu 48.

Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba memasuki simpang sebelum sebuah lori sarat muatan sagu keropok dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.

Akibat itu, mangsa yang tercampak ke atas jalan kemudian digilis dan diseret sejauh 50 meter sebelum lori itu berhenti.

Pemandu lori, 33, berasal dari Kuala Terengganu yang ketakutan bertindak melarikan diri dan dikatakan ke Hospital Dungun untuk mendapat rawatan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa bagi urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sumber

Friday, 23 February 2018

Swafoto Dulu Sebelum Belasah Sampai Mati.

SWAFOTO yang tular menunjukkan Madhu (belakang) diikat ketika disoal. - Foto Agensi

Kerala: Seorang lelaki berusia 27 tahun dibelasah mati 15 penduduk kampung yang juga sempat mengambil swafoto yang disebarkan di Internet kerana dituduh mencuri dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Satu imej dimuat naik di media sosial menunjukkan seorang lelaki memegang kayu menyoal mangsa, sementara seorang lagi dilihat mengambil swafoto bersamanya.

Ketua polis negeri, Loknath Behera berkata, lelaki dikenali sebagai Madhu ditangkap orang ramai kerana disyaki mencuri sebelum dipukul dengan kejam.

Dia kemudian dibawa ke balai polis, namun pengsan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Ini jenayah kejam. Masyarakat yang bertamadun tidak boleh menerima perbuatan seumpama ini.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah,” kata Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan di Facebook.

Sementara itu, aktivis Dhanya Raman berkata, Madhu pesakit mental yang sering dilihat berkeliaran di kawasan itu sejak lebih setahun lalu.

Pada masa sama, polis berkata, Madhu memang sering mencuri makanan, malah pernah ditangkap melakukannya di sebuah kedai.

Ibunya Malliamma berkata, anaknya hidup gelandangan, malah pernah tinggal di dalam gua, tetapi menafikan Madhu pencuri. - Agensi/HMetro