Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Sunday, 29 July 2018

Peminjam Gagal Bayar PTPTN Diisytiharkan Muflis Dan Disenaraihitam.


SEGAMAT: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menyuarakan kebimbangan terhadap pandangan bercanggah antara Menteri Pendidikan dan timbalannya berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Normala Sudirman berkata, sebelum ini Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membuat pengumuman bahawa peminjam PTPTN yang memiliki pendapatan di bawah RM4,000 sebulan diberi kelonggaran pembayaran pinjaman.

“Namun, ia bercanggah pula dengan kenyataan yang dibuat oleh timbalannya, Teo Nie Ching apabila beliau mengatakan peminjam yang gagal melunaskan pembayaran akan diisytiharkan muflis dan disenaraihitamkan Imigresen Malaysia.

“Kenyataan terkini antara dua individu yang bercanggah seperti ini bukan sahaja dianggap memungkiri janji, tetapi akan mengelirukan rakyat terutama pengundi muda yang pasti menganggap diri mereka telah tertipu,” katanya.

Normala berkata, kerajaan dan Kementerian Pendidikan juga digesa agar lebih cermat dalam membuat kenyataan dan melahirkan pandangan agar dilihat tidak bercanggah antara satu sama lain walaupun dalam kementerian atau jabatan yang sama.

Katanya, ini kerana tindakan tersebut tidak baik untuk masa depan rakyat yang mengharap pembelaan berkaitan isu pinjaman PTPTN ini.

“Pendidik sentiasa menyokong apa sahaja usaha murni demi kebaikan masa depan pendidikan anak bangsa. Bagaimanapun jika ada kepincangan warga pendidik tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan bantahan dan pandangan demi keharmonian negara,” katanya.

BACA INI JUGA:
Loading...

Monday, 23 July 2018

Elaun Sara Hidup Guru Mungkin Akan Dinaikkan - Menteri Pendidikan


KLUANG: Kementerian Pendidikan (KPM) mungkin akan menaikkan elaun kos sara hidup bagi mengatasi masalah kekurangan guru yang semakin meruncing di bandar utama.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, masalah itu berlaku di bandar seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam berikutan ramai daripada mereka yang dalam perkhidmatan, memilih kembali ke negeri asal untuk bertugas.

"Kementerian sedang meneliti bagaimanakah penyelesaian terbaik agar guru ini tidak meninggalkan tempat.

"Mungkin ada beberapa inisiatif akan diusahakan termasuk menaikkan elaun kos sara hidup atau meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru, tetapi semuanya dalam peringkat kajian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikianketika ditanya sama ada Johor dan negeri lain mengalami masalah kekurangan guru ketika ini selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Siap Kerja bagi Pembinaan Sekolah Daif Fasa 1 Tahun 2018 Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam di sini, semalam.

Kata beliau, kecenderungan mereka untuk bertugas di kampung halaman disebabkan kos sara hidup yang tinggi di bandar besar.

Sehubungan itu, Maszlee merayu agar guru tidak meninggalkan tempat mengajar mereka.

Mengenai sekolah daif, Maszlee berkata, pihaknya akan menggandakan usaha untuk memastikan sekolah yang diberikan projek untuk dibina baharu dan dinaik taraf agar segera disiapkan.

Berdasarkan statistik kementerian pada 2017, terdapat 120 sekolah daif dikenal pasti di seluruh negara dengan 60 daripadanya di Semenanjung Malaysia dan masing-masing 30 buah di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun dengan peruntukan disediakan kerajaan pada 2018, lebih daripada 20 buah sekolah itu siap dibina baharu atau dibaik pulih melalui fasa pertama projek. - Bernama

Monday, 25 June 2018

SESB Bakal Potong Bekalan Elektrik Pusat Beli-belah 1Borneo.


KOTA KINABALU, 25 Jun - Pusat beli-belah terkemuka, 1Borneo Hypermall (1Borneo) di Sepanggar di sini bakal dipotong bekalan elektrik berikutan kegagalan pihak pengurusannya membayar tunggakan hutang utiliti itu sejak tahun lalu yang mencecah RM9.3 juta.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Ir Mohd. Yaakob Jaafar berkata, bekalan elektrik akan dipotong Rabu ini jika tiada bayaran yang diterima pihaknya selewat-lewatnya esok seperti yang tertera di dalam notis yang telah diserahkan beberapa kali.

“SESB berharap pihak pengurusan 1Borneo akan segera membuat bayaran selewat-lewatnya pada esok seperti mana yang dituntut memandangkan perbincangan dan notis telah diserahkan beberapa kali sebelum ini.

“Tindakan untuk memotong bekalan ini adalah diperuntukkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yaakob meminta pihak pengurusan 1Borneo untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pengguna-pengguna berdaftar di bawah pengurusannya. - UTUSAN ONLINE

Sunday, 10 June 2018

Malaysia Bakal Memiliki Kereta Nasional Baharu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama

TOKYO: Malaysia akan memulakan projek kereta nasional baharu menerusi kerjasama dengan negara serantau lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24 hari ini, Dr Mahathir berkata Proton kini bukan lagi kereta nasional kerana sebahagian besar saham syarikat terbabit kini dimiliki syarikat China, Geely.

“Aspirasi kita sekarang ialah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau,” katanya.

Tambah beliau, Thailand dan Jepun adalah antara negara serantau yang memiliki kepakaran dalam pembuatan kenderaan.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengenai potensi pembangunan industri baharu Malaysia dan bagaimana pelabur asing dapat melengkapkan senario itu.

“Kita mungkin terpaksa mengharapkan rakan asing pada permulaan tetapi lambat laun kita berharap pekerja tempatan sendiri dapat menguasai teknologi yang diguna pakai,” katanya. - BH ONLINE

Wednesday, 6 June 2018

Jumat Serah Dokumen Berkaitan Salah Guna Kuasa Musa kepada SPRM.

Azhar (kanan) dan Jumat (kiri) ketika sidang media berkenaan. - Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: “Saya telah laporkan kepada SPRM berhubung salah guna kuasa Tan Sri Musa Aman dalam pemberian tanah kepada anak saudaranya.”

Demikian ditegaskan Mantan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris hari ini, yang mendedahkan beberapa penyelewengan yang dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman semasa menjadi Ketua Menteri.

Menurut Jumat, Musa telah telah meluluskan beberapa projek berkaitan pemilikan tanah kepada ahli keluarganya dan ini adalah bercanggah dengan perundangan dan jelas menunjukkan ahli politik itu menyalahgunakan kuasa beliau.

“Untuk makluman ada beberapa kawasan yang telah dipohon oleh anak anak saudara Tan Sri Musa Aman, sebagai contoh di dekatlampu isyarat Rampaian seluas 7 hektar telah diberikan kepada anak saudara dia dan satu lagi lima ekar dekat Likas Square.

“Likas Square ini sepatutnya dia state rezab dia bukan state land, juga diberikan kepada anak saudara dia dan all the document with me dan ini sepatutnya tidak boleh dilalukan kerana state rezab ini dia untuk state agency punya development,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Berbuka Puasa di Kediamannya, di Likas, pada Rabu.

Jumat menyatakan, beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan penyalahgunaan kuasa itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bulan lalu untuk diambil tindakan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Azhar Matussin.

Jumat turut mendedahkan satu lagi kes melibatkan penanaman kelapa sawit seluas 40,000 ekar yang mana tanah itu sebelum ini milik Yayasan Sabah tetapi ditukar kepada rezab negeri yang seterusnya diserahkan kepada satu syarikat untuk melaksanakan penanaman kelapa sawit.

Katanya, pihak berkuasa harus melakukan siasatan terhadap pemilik syarikat yang diberikan keistimewaan ‘luar biasa’ dalam mengendalikan projek tanah di negeri ini.

“Saya difahamkan bahawa kawasan ini telah ditukarkan kepada state rezab land dan selepas ditukar kepada state land didapati bahawa sudah ada individu pemilik syarikat yang kini sudah pun fully planted dan ditanam dengan kelapa sawit seluas 40,000 ekar.

“Kita mahu tahu siapa dia individu ini, pemilik-pemilik syarikat ini yang telah diberikan keistimewaan untuk menempatkan 40,000 ekar kawasan pertanian.

“Dan sudah tentunya kita berminat untuk mengetahui latar belakang pemilik syarikat ini yang dilihat begitu berkeupayaan membangunkan tanah seluas 40,000 ekar dalam waktu yang singkat,” katanya.

Thursday, 24 May 2018

Perkhidmatan Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn.Bhd Digantung Sementara.

Junz (dua dari kanan), Zulkifli (dua dari kiri) serta ​Penasihat Politik kepada ​Menteri Pertanian dan Industri Makanan, ​Datuk David Chong (kiri) dan ​Setiausaha Politik kepada ​Menteri Pertanian dan Industri Makanan , ​Rakam Sijim (kanan) di sidang media kelmarin.

KOTA KINABALU: Perkhidmatan Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn Bhd digantung sementara kerana gagal mematuhi terma dan syarat kontrak pendalaman 30 kilometer (km) daripada 70 ​km sungai di Kota Belud.

​​Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Junz Wong berkata syarikat berkenaan gagal mengemukakan tiga dokumen dan turut gagal melantik sub kontraktor di bahagian Bidang Kritikal.

“Melalui Jabatan Perairan dan Saliran Sabah, satu surat penggantungan dan surat amaran pertama telah diserahkan kepada syarikat tersebut kerana gagal mematuhi terma dan syarat surat pemberian ‘Projek Pengorekan dan khas Pengambilan Batu dan Pasir di Sungai yang Terjejas akibat Gempa Bumi di Kota Belud’ iaitu dokumen Bon Prestasi dalam bentuk Jaminan Bank; Polisi Insurans; Surat Pelantikan Perunding serta gagal melantik sub kontraktor di Bidang Kritikal.

“JPS juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Belud pada minggu lepas berkenaan perkara ini dan kontrak syarikat berkenaan mungkin akan ditamatkan, tertakluk kepada nasihat dari Dewan Peguam Negara.

“Dalam pada masa yang sama kita juga akan menyediakan reka bentuk dan mekanisme baharu bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan Kota Belud,” katanya dalam satu sidang media khas di kementerian berkenaan​,​ kelmarin.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri terdahulu telah meluluskan dan melantik Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn Bhd melaksanakan projek tersebut dan turut melantik lapan sub kontraktor di bawah projek berkenaan.

Menurut Junz, dua jawatankuasa telah ditubuh untuk menyelia projek berkenaan iaitu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh JPS Sabah dan turut dilantik sebagai Agensi Pelaksana.

“Surat penganugerahan kontrak telah dikeluarkan yang dikeluarkan pada 27 Februari 2018 dengan memiliki tapak pada 20 Mac 2018 hingga 19 Mac 2021 selama ​tiga​ tahun dengan anggaran kos projek berjumlah RM 18,835,400 yang telah dipersetujui untuk dibayar secara ‘in kind’.

“Sejak permulaan projek, Jawatankuasa Teknikal telah mengadakan beberapa mesyuarat untuk memantau dan memastikan projek tersebut berjalan mengikut pelan mengikut keperluan kontrak,”​ ​ujarnya.

Hadir sama ​ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perindustrian Makanan, Zulkifli Harith. - PENERANGAN

Tuesday, 22 May 2018

Peminjam PTPTN Yang Bergaji Bawah RM4000 Tak Perlu Bayar Hutang Berkuatkuasa Serta-merta.


PUTRAJAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih tidak memperoleh gaji RM4,000 sebulan dikecualikan daripada membuat sebarang bayaran.

Demikian kata Menteri Pendidikan baharu, Dr. Maszlee Malik sambil menegaskan, langkah itu berkuat kuasa serta-merta sebagai menunaikan janji pilihan raya yang dibuat Pakatan Harapan (PH) dalam masa 100 hari selepas menang pilihan raya.

“Di peringkat pengajian tinggi, kita akan memberikan tumpuan sebab kita janji dalam 100 hari untuk meletakkan syarat kepada pembayar PTPTN iaitu mereka yang belum mencapai gaji RM4,000 mereka tak perlu membayar.

“Cuma kita perlu berhubung dengan pihak imigresen untuk menarik sekatan perjalanan mereka. Itu antara janji yang perlu kita tunaikan dan jadi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah-Terima Tugas bekas Menteri Pendidikan Tinggi kepada beliau di sini hari ini.

Manifesto PRU-14 PH tidak menawarkan pemansuhan hutang PTPTN seperti mana yang dijanjikan pada PRU-13 sebaliknya, manifesto PH tetap meneruskan PTPTN tetapi tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.

Ditanya sekiranya gaji peminjam PTPTN mencecah RM4,000 dalam masa beberapa tahun akan datang, beliau berkata, mereka dialu-alukan membuat bayaran sebagai tanda tanggungjawab.

“Tidak perlu bukan tak payah, kalau mereka nak bayar lagi bagus (gaji lebih RM4,000). Kita ingin wujudkan dalam kalangan warga Malaysia sikap bertanggungjawab.

“Bila gaji mereka sampai RM4,000 atau tak sampai mereka nak bayar pun dialu-alukan. Itulah sikap yang sepatutnya ada,” katanya.

Katanya lagi, penangguhan bayaran itu dibuat dengan mengambil kita keadaan ekonomi semasa dan tekanan rakyat terhadap kos sara hidup meningkat.

“Memandangkan keadaan ekonomi yang teruk pada hari ini, maka kita letakkan RM4,000 itu supaya bila mereka sampai tahap itu, mereka boleh membuat pembayaran,” katanya lagi. - MalaysiaGazette