"ANTARA bola sepak dan model, saya memilih untuk menjadi pemain bola kerana sukan itu sudah seperti sebahagian dalam diri saya." kata Nur Syahindah Mohamad Kamal, 20, gadis jelita yang menjadi perhatian netizen apabila bukan sahaja lincah di atas padang malah memiliki paras rupa menawan sehingga ditawarkan menjadi model dan duta produk.
Biarpun aktif dengan sukan lasak itu, Nur Syahindah atau lebih mesra disapa Indah tidak melupakan kewajipannya sebagai seorang muslimah, menutup aurat biarpun ketika beraksi di atas padang.
Indah berkata, disebabkan penampilannya itu dia ditawarkan untuk menjadi model bagi sebuah agensi perusahaan tudung serta duta produk sukan, namun anak jati Kota Bharu, Kelantan ini mengetepikan tawaran berkenaan.
Katanya, bukan bermaksud menolak rezeki tetapi dia mahu memberi tumpuan penuh terhadap pengajiannya di peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan di kolej Poly-Tech Mara, Kota Bharu, Kelantan.
"Sebelum gambar saya tular di laman sosial lagi saya sudah diberi tawaran menjadi model serta duta barangan sukan tetapi saya kurang berminat kerana saya tahu ia memerlukan komitmen yang tinggi.
"Saya lebih memilih untuk bermain bola kerana itu minat saya sejak kecil selain menumpukan pada pelajaran memandangkan saya berada di tahun akhir pengajian," katanya ketika dihubungi.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia juga membahagikan masa untuk fokus pada latihan bersama pasukan bola sepak wanita Sri Sador Glow Glowing FC yang diserta sejak lapan bulan lalu.
Bagaimanapun, gadis berdarah campuran Melayu Cina itu masih boleh mempertimbangkan tawaran sebagai duta atau model pada masa akan datang selepas beberapa impiannya tercapai.
"Banyak saya perlu perbaiki untuk capai impian saya dengan cemerlang termasuk dalam pelajaran dan juga bola sepak.
"Kalau boleh, saya mahu dikenali bukan kerana paras rupa tetapi bakat saya dalam bermain bola sepak," katanya yang mendapat gelaran 'Ronaldinho Kelate' selepas gambarnya tular di laman sosial.
Indah yang meminati bekas penyerang Brazil, Ronaldinho, berkata, pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang beraksi di atas padang adalah mempunyai peminat sendiri meskipun tidak mengenali mereka.
"Saya sendiri tidak sangka ada peminat sendiri sedangkan saya bukanlah pemain kebangsaan. Lagipun saya baru dua tahun aktif bermain bola sebelum terpilih menyertai pasukan bola sepak wanita Sri Sador Glow Glowing FC.
"Saya memang meminati sukan bola sepak sejak kecil tetapi hanya sebagai penonton sahaja.
"Selepas tamat zaman sekolah, saya mula berjinak bermain futsal untuk riadah bersama-sama rakan, tidak sangka kini sudah mewakili Kelantan dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR)," katanya yang bermain di posisi pertahanan kiri.
Menurutnya, minat yang begitu mendalam terhadap pasukan Barcelona menyebabkan dia jarang terlepas untuk menonton perlawanan pasukan terbabit dan mempelajari teknik permainan pemain.
Disebalik popularitinya, Indah berkata, terdapat perkara yang melucukan iaitu apabila kembarnya, Nur Syakirah, 20, menjadi perhatian orang ramai mahu bergambar bersama kerana menyangkakan itu adalah dirinya.
"Ramai yang tidak tahu saya ada kembar menyebabkan ramai yang tersalah orang untuk bergambar. Syakirah juga meminati bola namun tidak aktif seperti saya.
"Syakirah juga belajar di tempat sama dengan saya, cuma dia mengikuti bidang akaun. Meskipun dia tidak terpilih untuk bermain bersama pasukan saya, dia adalah penyokong kuat saya ketika pasukan kami beraksi," katanya.
Indah berkata, meskipun ramai yang memberi sokongan kepadanya, dia kecewa dengan segelintir individu di laman sosial yang memperkecilkan kebolehannya bermain bola.
"Ada yang cakap saya menjadi tular kerana ada rupa bukan sebab boleh pandai bermain bola. Saya mengakui tidak sehebat pemain handalan, namun saya tidak pernah minta untuk ditularkan.
"Saya pernah menjadi tular pada awal tahun, tambahan pula Harian Metro memaparkan kisah saya beberapa kali di akhbar, tidak sangka baru-baru ini saya tular semula di laman sosial dan sekali lagi menjadi perhatian," katanya yang turut mendapat liputan media dari Indonesia.
Isnin lalu, gambar dan kisah Nur Syahindah sekali lagi menjadi tular di laman sosial sehingga menerima lebih 10,000 perkongsian.
Loading...
EmoticonEmoticon