Friday 18 August 2017

'Saya Menyesal…' Isteri Saleem Mohon Maaf.

Tags



SELEPAS dua hari berlalunya drama serangan terhadap syarikat rakaman Music Valey Malaysia (MVM), pengurus penyanyi Saleem iaitu Julia Bachok akhirnya sedar dia telah melakukan kesilapan.

Julia mengakui tidak dapat menahan kemarahan sehingga melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. FOTO: Utusan Online

Atas dasar itu dia yang juga isteri penyanyi legenda itu tampil memohon maaf atas perbuatan yang digambarkan sebagai tidak wajar oleh sebahagian besar netizen.

Menurut Julia, keadaan marahnya ketika itu membuatkan dia tidak dapat menahan sabar sehingga mendorong dia melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Assalammulaikum, saya selaku pengurus kepada saleem. Ini adalah sebenarnya saya. Julia yang tiga hari lepas bukan saya.

“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Sabah Sarawak, Brunei, Singapura, terutama sekali orang Johor.

“Bila tengok video saya balik, saya amat sedih. Saya mohon maaf sekali lagi. Masa saya marah itu keadaan emosi, dan tekanan dengan suami baru keluar hospital.

“Dengan tekanan keadaan-keadan di luar sana yang saya tak dapat control. Saya amat menyesal dan mohon maaf kepada yang terkesan dengan kata-kata saya,” kata Julia.

Permohonan maaf itu dibuat Julia dalam liputan langsung dibuat oleh Utusan Online pada Jumaat.

Menerusi rakaman tersebut kelihatan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez turut menjadi orang tengah dalam usaha menjerihkan keadaan.

Manakala Saleem memberitahu isterinya hanya meluahkan apa yang dirasakan dan jika sesiapa berada di tempat itu juga akan melakukan perkara yang sama.

Tambah penyanyi legenda berusia 56 tahun itu, kemarahan tersebut timbul disebabkan ada pihak yang cuba menipu dia dan isteri.

“Sebenarnya hari itu dia tunjuk perasaan dia. Sesiapa pun yang duduk di tempat dia akan marah. Sama ada saya sendiri pun akan keluar benda pelik-pelik.

Freddie akan cuba memulihkan masalah Saleem dan anaknya.

“Tapi selepas kita balik, kita bincang dengan dia. Cakap tak sepatutnya macam itu. Waktu itu mungkin kita marah sebab orang yang kita cari itu ada yang cuba menipu.

“Kalau awak sendiri pun, awak akan marah,” soalnya.

Sementara itu, Freddie berkata pihak Karyawan akan mengaturkan langkah seterusnya untuk memulihkan masalah peribadi keluarga Saleem. Malah akan turut membantu kerjaya penyanyi tersebut di masa akan datang.

“Kita perlu membantu dalam hal ini dan akan mengaturkan beberapa langkah untuk kerjaya Saleem.
“Selain itu memulihkan keadaan ini di mana ada masalah peribadi diantara keluarga beliau. Apa yang boleh kita lakukan, kita akan aturkan.

“Supaya perkara ini dapat dibendung dan kita boleh membawa kerjaya Saleem ke masa depan yang lebih berjaya,” ujarnya.

Isu membabitkan Saleem dan anaknya, Syafiq Farhain menjadi episod panjang apabila penyanyi kumpulan Iklim ini bersama isterinya bertindak ‘menyerang’ syarikat rakamannya di Taman Shamelin Perkasa, Cheras.

Julia dikatakan tidak berpuas hati kononnya syarikat rakaman berkenaan mengaut keuntungan dengan mempromosikan artis baru tersebut dengan mengaitkan nama Saleem bagi menaikkan populariti pemuda itu.


Disebabkan tindakan itu, Julia telah dikecam netizen dan rata-ratanya tidak setuju dengan apa yang dikatakannya terhadap Syafiq Farhain.

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon