Thursday 26 July 2018

Kisah Anak Taib Mahmud, Sulaiman Abdul Rahman Yang Gagal Beli Syarikat Bugatti.

Tags




Sulaiman Abdul Rahman Bin Abdul Taib Mahmud, anak kepada Ketua Menteri Sarawak (kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak) mempunyai perancangan untuk membeli syarikat automotif berprestij, Bugatti bagi menambah bilangan perniagaan dibawah pemilikan keluarga mereka.

agaimanapun, rakan Sulaiman menyatakan bahawa TS Taib Tahmud kurang berminat dengan cadangan itu. Ketua Menteri yang mengawal aliran wang untuk keluarganya itu membantah cadangan itu. Menurutnya lagi, Sulaiman mengambil masa hampir seminggu untuk berbincang mengenai cadangan perniagaan itu.

Pendedahan mengenai kisah Sulaiman Taib ini diceritakan oleh rakan sekolejnya iaitu Kevin C. Limjoco yang pernah belajar sekali di San Francisco bersamanya. Ketika berada di sana, beliau juga dikenali sebagai seorang playboy dan penggemar kereta sports. Meskipun begitu, rakan perniagaanya menyifatkan beliau sebagai seorang yang teragak-agak dalam membuat keputusan ketika ditugaskan untuk menguruskan syarikat rahsia TS Taib Mahmud di Amerika Syarikat, Sakti International.

Oleh Kevin C. Limjoco

Dato Sulaiman Abdul Rahman B. Abdul Taib Mahmud

Kisahnya bermula di butik pakaian Itali yang terletak di Tiburon, Marin Country, California. Saya tidak bershopping, tetapi kawan saya sedang membeli belah. Dia mendekatkan diri kepada saya dan berkata, "awak pernah dengar mengenai Bugatti EB110 ?". Saya menjawab, "sudah tentu, kereta itu hebat namun hampir mustahil untuk dijumpai". Dia pun tersenyum. Kisah itu berlaku pada musim panas tahun 1994. Kawan saya dan saya merupakan penuntut baru dalam bidang perniagaan di University of San Fransciso. Nama beliau ialah Datuk Sulaiman Abdul Rahman Bin Abdul Taib Mahmud.

Beliau merupakan salah seorang 'kerabat diraja' di Malaysia. Bapanya merupakan Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya memiliki lebih 100 buah perniagaan dalam pelbagai sektor seperti sekuriti sehinggalah pembalakan.

Secara peribadinya, beliau merupakan orang pertama yang saya kenal yang mempunyai pelbagai kereta ekzotik. Mereka yang tidak mengenali beliau kebiasaannya agak kehairanan dengannya. Hal ini kerana beliau sentiasa mempunyai kereta baharu selang beberapa minggu. Beliau mempunyai pelbagai jenis kereta daripada Mercedes model K yang bernilai jutaan dolar, Mercedes SL Gullwing, Ferrari 355 Spyder, Rolls Royce Corniche, Maserati Kamsin hinggalah ke 'kereta biasa' seperti Mercedes S500.

Kadang kala, beliau terpaksa menghantar pulang koleksi keretanya ke Sarawak bagi mengemas garajnya dari berselerak. Disebabkan itu, saya tahu bila dia berbicara mengenai Bugatti EB110, dia betul-betul serius untuk memilikinya. Beliau mempunyai agen yang akan menjelajah ke serata dunia bagi mencari kereta yang diidamkan oleh beliau.


Ketika kami keluar dari butik tersebut, beliau dengan bersemangatnya memberitahu saya yang bukan satu tetapi terdapat dua buah Bugatti EB110 akan tiba di San Franscisco. Satu beliau beli daripada mamat Jepun di Detroit dan sebuah lagi dari Lousiana kalau tidak silap saya. Adalah amat menggagumkan apabila beliau dapat mencari kereta ini di US.

Beliau tidak pernah memberitahu berapa harga yang beliau bayar untuk membeli kereta tersebut kerana bagi beliau, adalah kurang sopan untuk membincangkan mengenai harga bersama rakan-rakan. Perasaan ingin tahu itu membuak-buak dan saya ketika itu menganggarkan bahawa harga EB110 ini paling kurang pun bernilai US$500,000.

Sejujurnya, saya tidak tahu. Dia tak pernah bagi tahu dan saya pun tak pernah tanya. Harga EB110 itu boleh dikatakan setanding dengan Lamborghini Diablo, Ferrari 512TR dan Jaguar XJ220.

Memandangkan ia berada di kelasnya tersendiri, harga tersebut boleh dianggap berbaloi untuk dibayar kerana pencapaian dan prestijnya. Meskipun begitu, harga yang dibayar tidak mampu menandingi kos untuk membina dan memasarkan kereta itu yang ditanggung oleh Bugatti.

Salah sebuah Bugatti EB110 yang berada di Malaysia.

Dua minggu kemudian, saya berada di rumah beliau untuk makan tengah hari pada hari Ahad. Beliau mengajak saya ke garajnya. Secara keseluruhannya, Bugatti membina 154 unit EB110 termasuk 12 unit yang sedang berada di assembly line. Michael Schumacher merupakan salah seorang pemilik bertuah model ini. Tapi, Sulaiman ada dua unit kereta ini...dan itu dia "Bugatti EB110 berwarna hitam". Saya terpegun...mid Engine, 3.5 liter, 12 silinder, 60V, quad cam, 4 turbo, all wheel drive, 6 speed, rangka carbon fibre, 6 piston ABS brake, 611 kuasa kuda, 0-100 dalam 3.4 saat, kelajuan maksimum 355km/j dan tork berkuasa 480lbs.

Bahagian dalaman kereta ini juga tidak mengecewakan memandangkan ia dipadankan dengan panel veneer Burl Wood, tempat letak barangan yang baik serta tempat duduk kulit yang diukir kemas. Kereta beliau itu merupakan kereta paling laju yang pernah saya naik. Pada satu hari Ahad, kami melalui sebuah cafe di Broadway Street di Downtown, San Francisco.

Disini, kesemua pemilik kereta ekzotik sering menayangkan koleksi kereta mereka. Mata pemilik-pemilik Ferrari dan Lamborghini terbeliak bila beliau memecut kereta tersebut. Saya teringat pada suatu hari Bugatti EB110 tersebut mencabar Ferrari F40 di Laguna Seca. Ferrari tersebut menang tipis tetapi pemandu EB110 itu memandu dengan membuka air-cond, muzik yang kuat dan memandu secara santai.

Disebabkan kereta itu, Sulaiman membuat sedikit kajian mengenai syarikat Bugatti melalui rakan-rakannya di Modena, Itali (tempat terletaknya kilang Lamborghini, Ferrari dan De Tomaso). Beliau mendapati yang kilang Bugatti, yang dimiliki oleh taikun Itali, Romano Artioli sedang mengalami masalah dan dalam proses diisytiharkan bankrap.

Romano Artioli

Beliau terus menghubungi pemiliknya dan mendapati bahawa isu ini telah dibawa ke mahkamah.

Artioli telah menfailkan pengisytiharan bankrap. Melalui kabel yang kuat, beliau menghantar peguamnya ke Itali untuk melihat perspektif bagaimana syarikat ini boleh dibeli. Beliau meletakkan dirinya sebagai pembeli berpotensi sebaris dengan nama-nama besar yang lain seperti Fiat dan Volkswagen.

Pada detik itu, beliau percaya yang cita-citanya untuk menjadi kuasa besar dalam bidang automotif ini akan tercapai. Motivasinya ialah kereta itu sendiri dan diinspirasikan oleh syarikat PROTON yang mengeluarkan keretanya sendiri di Malaysia. Dalam masa yang sama, Presiden Suharto (Indonesia) juga mempunyai saham dalam syarikat Lamborghini. Memiliki Bugatti akan meletakkan diri beliau sama standard dengan mereka semua.

Berbalik kisah di mahkamah...wang yang diperlukan untuk membeli Bugatti termasuk kilang di Modena, tanah milik Bugatti, segala paten, reka bentuk, pelan, hak dagangan (trade mark), mesin, hak milik terhadap syarikat-syarikat yang lain dan 12 unit kereta Bugatti EB110 yang belum diwarnakan lagi berjumlah US$25 juta. 

Bagaimana seorang warga Filipina terlibat dalam semua ini?

Kevin C. Limjoco

Perancangannya adalah untuk membina kilang pengeluaran bersama di Sarawak dan Filipina. Bugatti mempunyai perancangan rahsia untuk mengeluarkan kereta sports sedan mampu milik untuk bersaing dengan Mercedes C-Class dan BMW 3 series. Bugatti EB110 juga akan dikeluarkan semula tetapi di Modena.

Kereta sports sedan yang baharu itu akan direka dengan kerjasama Lotus bagi mengurangkan kos selain menggunakan kepakaran mereka dalam bidang pembangunan enjin, chasis suspension dan coachwork. Majoriti kereta tersebut akan dibina di Sarawak manakala selebihnya (35%) akan dibina sama ada di Subic ataupun Clark yang terletak di Filipina.

Dalam usaha menjayakan misi ini, kami perlu memberikan jaminan bank sebanyak US$5 juta bagi mengukuhkan komitmen kami untuk tempoh 30 hari. Sebagai ganjaran, mereka yang membantu mendapatkan jaminan bank akan diberikan EB110 yang masih berada dalam stok.

Walaupun Sulaiman mempunyai akses wang untuk keseluruhan US$ 25 juta, beliau masih memerlukan 30 hari untuk mendapatkan kebenaran dan restu daripada bapanya, Tan Sri Taib Mahmud tanpa perlu terlibat dalam risiko kewangan. (Tanggungjawab itu diberikan kepada saya kerana saya berada di Filipina untuk mencari mereka yang berminat untuk terlibat dalam pembelian ini).


Dalam tempoh beberapa hari, kami meninggalkan AS dan saya ke Filipina manakala Sulaiman pulang ke Sarawak. Tugas beliau adalah mendapatkan kebenaran dan restu dari bapanya manakala tugas saya adalah untuk mendapatkan jaminan bank.

Waktu sentiasa mencemburui kami sepanjang masa. Sulaiman memerlukan seminggu sebelum dapat berjumpa dengan bapanya. Saya pula masih terkial-kial mencari pelabur berpotensi di Filipina. Ia merupakan tugas yang sukar bagi meyakinkan orang mengenai peluang yang menarik ini. Ironinya, saya hanya perlu mendapatkan jaminan sahaja bukannya wang fizikal. Sulaiman yang akan membayar setiap sen dalam tempoh tiga puluh hari.

Bukan sahaja kami dapat membina peluang pekerjaan untuk rakyat kami tetapi setiap seorang daripada mereka (penjamin) akan mendapat sebuah Bugatti EB110 yang baharu.

Kami hanya mempunyai beberapa hari sahaja lagi dan ayah Sulaiman (TS Taib Mahmud) masih tidak memberikan lampu hijau. Saya berusaha keras untuk menjayakan hal ini kerana saya tahu, jika semuanya berjalan seperti yang direncanakan, Sulaiman pasti dapat mengeluarkan US$25 juta tersebut.

Detik yang ditunggu-tunggu pun tiba, TS Taib Mahmud tidak berminat dengan cadangan itu dan saya kurang US$2 juta. Ia merupakan saat-saat kelam. Saya memujuk Sulaiman untuk menambah baki wang jaminan yang tidak cukup sementara memberi ruang waktu untuk ayahnya (TS Taib Mahmud) untuk berfikir balik mengenai cadangannya itu.

Namun beliau enggan...beliau menerima hakikat bahawa budayanya berbeza dengan saya dan saya mungkin tidak akan faham mengenai perkara tersebut. Impian saya berkecai...air muka kami jatuh dan ia memberi impak kepada hubungan persahabatan kami.

Beberapa minggu kemudian, terdapat kenyataan umum yang dibuat oleh Volkswagen dimana mereka akan membeli Bugatti yang akan menambahkan lagi rasa bangga rakyat Jerman. Saya mengakhiri kisah ini dengan hati yang berat...namun siapa tahu, seperti orang selalu kata..."satu pintu tertutup...akan ada pintu lain yang terbuka".

Digunakan dengan kebenaran oleh:

Kevin C. Limjoco
Pengarang kanan
C! Magazine

Artikel ini diambil dari website Beta C! Magazine.
Dialihbahasa oleh Classic Cars Malaysia.

Artikel ini telah dikeluarkan oleh Sarawak Report. Ia masih berada dalam arkib laman web berkenaan namun disebabkan kerajaan Malaysia menyekat laman web anti-korupsi itu, ia tidak dapat diakses.

Sulaiman Abdul Rahman Taib pernah menjadi Timbalan Menteri Pelancongan ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Samarahan pada pilihan raya umum ke-12. Namun disebabkan beberapa isu, beliau meletak jawatan pada tahun 2009.

Bapa beliau, Tun Abdul Taib Mahmud (Yang diPertua Negeri Sarawak) sememangnya dikenali sebagai penggemar tegar kereta. Classic Cars Malaysia pernah menulis satu artikel khas untuk beliau seorang sahaja.


Loading...

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon