Sunday 22 March 2020

Pencarum KWSP Boleh Keluarkan Wang RM500 Sebulan Dari Akaun 2 Mulai 1 April.

Tags




AHLI Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP itu berjumlah RM40 billion.

"Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

"Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus yang berkuatkuasa April 2020 akan membolehkan pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barangbarang keperluan harian.

"Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini...yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga," katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan.

"InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga," katanya.

Ia antara beberapa inisiatif diumumkan kerajaan bagi mengurangkan bebanan kewangan rakyat berikutan Covid-19 sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan. - HMetro

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon