Thursday 12 October 2023

Intipati Menarik Belanjawan 2024 - Ekonomi MADANI.




Buat mereka yang tidak dapat mengikuti siaran secara langsung pembentangan di TV utama Malaysia, berikut dikongsikan intipati Bajet 2024 - Ekonomi MADANI.

Intipati Menarik Belanjawan 2024:

*Kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012. Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun 2024.

1. Sementara menunggu Kajian ini lengkap, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak 2,000 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan 1,000 ringgit kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

2. Bayaran Insentif 1,000 ringgit turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.

3. Skim Ex-Gratia Bencana Kerja penjawat awam ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada 4,000 ringgit kepada 6,000 ringgit selaras dengan pindaan Skim PERKESO bagi sektor swasta.

4. Kerajaan bersetuju memperluas Kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi untuk meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak.

5. Sejumlah 50 juta ringgit juga disediakan sebagai bantuan kewangan kepada pengurusan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar bagi kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara rumah ibadat.

6. 20 juta ringgit disediakan untuk memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan rakyat dan penyebaran maklumat. Kerajaan juga menyediakan 20 juta ringgit sebagai Geran Pertubuhan MADANI untuk manfaat penduduk setempat bagi melaksanakan program-program kesukarelaan, perpaduan serta aktiviti pencegahan jenayah dan bencana.

7. Kerajaan akan memberi kelonggaran khas bagi perolehan sehingga 200 ribu ringgit untuk setiap pesanan kepada usahawan kraftangan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

8. Kerajaan juga menyediakan 10 juta ringgit untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri antaranya untuk:
 
        • mempergiat aktiviti kebudayaan Sabah dan Sarawak;
        • memelihara bahasa kaum minoriti seperti entik Siam;
        • mewujudkan Pusat Etnik dan Budaya Perak;
        • membaik pulih Pusat Tenunan Songket di Kompleks Tuanku Nur Zahirah
          Kuala Terengganu dan Desa Ukiran Kayu, Besut, Terengganu.

9. Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit kepada agensi yang berpotensi untuk mengetengahkan karya seni dan sastera negara, mempergiatkan persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia.

10. Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan.

11. Kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan 50 juta ringgit bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta.

12. Sejumlah 50 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

13. Bagi memperkasa ekosistem atlet para, 12 juta ringgit disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

14. Kerajaan memperuntukkan 72 juta ringgit bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium. Ini termasuklah 20 juta ringgit di bawah inisiatif Road to Gold sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

15. Pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga 1,000 ringgit. Pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

16. Mengembalikan semula geran bantuan sebanyak 20 ribu ringgit kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM. Pemberian ini diharap dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka.

17. Kerajaan mengkhususkan 1.9 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

18. Kesejahteraan anggota beruniform dan para pesara akan terus dipelihara.

        400 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah
          Keluarga Angkatan Tentera.
        20 juta ringgit turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat
          secara berfasa.

19. Mulai tahun 2024, Kerajaan turut bercadang supaya surat cara pindah milik harta tanah melibatkan benefisiari melepaskan hak kepada benefisiari yang layak mengikut wasiat atau faraid atau Akta Pembahagian 1958 hanya dikenakan duti setem sebanyak 10 ringgit ketimbang kadar ad-valorem sebelum ini.

20. Kerajaan bercadang untuk mengenakan duti setem pada kadar rata 4 peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh individu bukan warganegara dan syarikat milik asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.

21. Memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kampung Baru Cina bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung.

22. Kerajaan telah mengambil alih pembangunan Bandar Malaysia bagi memastikan tanah-tanah strategik dimanfaatkan sebaiknya untuk projek rakyat berteraskan nilai MADANI. Ini termasuk projek pembinaan rumah mampu milik untuk golongan veteran, mengambil kira kepentingan Bumiputera di Wilayah Persekutuan selain penyediaan taman-taman dan ruang hijau yang boleh dimanfaatkan oleh semua penduduk Lembah Klang.

23. Bagi memudahkan pembangunan semula skim strata, ambang persetujuan penduduk untuk jualan en-bloc akan dikurangkan daripada 100 peratus kepada tahap yang konsisten berdasarkan amalan antarabangsa seperti di Singapura. Ini akan menggalakkan pembaharuan semula bandar dan menggalakkan pembangunan semula bangunan usang di bandar.

24. Kerajaan akan menambah Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga 10 bilion ringgit untuk SJKP bagi memanfaatkan 40 ribu peminjam.

25. Secara keseluruhan, 2.47 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan projek perumahan rakyat bagi tahun 2024.

26. Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik. Pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk dengan kos sebanyak 4.7 bilion ringgit.

27. Subsidi pengangkutan awam seperti bas, rel dan perkhidmatan udara akan terus disediakan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

28. Projek-projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat. (Pan Borneo Sabah dan Sarawak).

29. CyberSecurity akan membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber 5G serta Kepakaran Tempatan Terhadap Teknologi 5G bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman serangan siber. 60 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini.

30. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan penyelesaian isu bekalan air, terutamanya di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

31. Kerajaan akan menyediakan peruntukan 1 bilion ringgit di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bagi menyediakan geran antara 50 ribu ringgit hingga 100 ribu ringgit kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti MADANI.

32. Skim Perubatan MADANI akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan 100 juta ringgit yang akan memanfaatkan 700 ribu rakyat, dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi. 50 juta ringgit disediakan untuk tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung.

33. Kerajaan menyediakan 150 juta ringgit untuk menyenggara sistem teknologi maklumat di bawah KKM termasuk menyediakan Clinic Management System Subscription (CCMS) di 100 klinik kesihatan.


Loading...

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon