Tuesday 14 November 2017

PPBM Cawangan Batu Gajah 'TUTUP KILANG' Dah.

Tags




Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah, Mohd. Shirin Adenan dan 18 ahli jawatankuasanya mengumumkan keluar parti hari ini sekali gus menyebabkan bahagian itu dibubarkan.

Perkara itu diumumkan Mohd. Shirin dalam sidang akhbar di sini hari ini dengan menyatakan sebab keputusan itu dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan pelantikan Faizal Azumu sebagai Pengerusi PPBM Perak menggantikan Datuk Hamidah Osman.

Mohd. Shirin menjadi ketua penaja bahagian terbaharu di Perak yang meninggalkan parti itu selepas Ketua Penaja Bahagian PPBM Gopeng, Parit dan Kuala Kangsar mengambil langkah yang sama sebelum ini.

Selepas mengumumkan keluar parti, mereka bertindak menurunkan kain rentang parti di Pejabat PPBM di Kampung Tersusun, Jalan Gopeng-Batu Gajah di sini.

Menurut Mohd. Shirin, beliau percaya lebih 1,100 ahli di bahagian itu akan turut mengambil tindakan yang sama.

Katanya, beliau dan ahli PPBM yang lain tidak yakin terhadap kemampuan Faizal untuk menerajui PPBM Perak.

Katanya, selepas Hamidah disingkirkan daripada menerajui PPBM Perak, semangat ahli semakin luntur kerana tiada lagi pemimpin yang berupaya mengatur strategi sehingga pemimpin dan ahli akar umbi semakin terpinggir.

‘‘Pelantikan Faizal sebagai Pengerusi PPBM Perak semata-mata kerana dia orang Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan ini membuka mata kami bahawa PPBM tidak sebaik yang kami harapkan.

‘‘Ketiadaan pengalaman untuk menerajui sebuah parti baharu, selain hubungannya yang sangat terbatas membuatkan PPBM Perak seperti anak ayam kehilangan ibu,’’ katanya.

Menurut Mohd. Shirin, selain isu kepemimpinan peringkat negeri, ahli-ahli turut dikejutkan dengan isu status Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebagai sayap parti yang tidak diendahkan oleh pucuk kepemimpinan.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi memerlukan jawapan dan penjelasan berhubung isu itu.

Katanya, isu Armada boleh menyebabkan PPBM dikenakan tindakan yang tegas sehingga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) boleh membatalkan pendaftaran parti.

‘‘Ini menimbulkan suasana panik dalam kalangan ahli, namun pucuk pimpinan seolah-olah tidak mempedulikan kebimbangan kami yang berjuang di peringkat akar umbi,’’ katanya. - Utusan Online

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon