Monday 25 March 2019

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Tags




Bermula tahun 2020 nanti, murid-murid di semua sekolah rendah bakal mendapat sarapan secara percuma! Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad di Invest Malaysia 2019 pada 19 Mac lalu.

Program sarapan percuma ini adalah hasil pembiayaan daripada cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini tetapi ditangguhkan pelaksanaannya.

"Penangguhan pelaksanaan cukai itu bagi membolehkan kerajaan meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya," katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, kerajaan telah mencadangkan untuk melaksanakan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan cukai itu telah ditangguhkan ke 1 Julai bagi memberi masa yang cukup kepada pihak industri untuk membuat persediaan.

Program sarapan percuma ini dilakukan bagi membolehkan murid-murid sekolah rendah untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan.

Memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George mendapati tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa.

Tahap insulin yang tinggi boleh mengakibatkan badan kanak-kanak untuk kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.

Risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.

Bukan itu sahaja, adalah didapati bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat akan lebih cenderung untuk memakan makanan yang mengundang kepada kegemukan pada waktu tengah hari atau malam.

Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada kebanyakan penyakit.

Sumber

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon