Monday 18 March 2019

Pengalaman Bermalam Di Teluk Batik Yang Membawa Padah.

Tags




#Dhia

Assalammualaikum. Aku perkenalkan nama aku Dhia. Kisah yang aku nak ceritakan ni adalah kisah yang aku alami sendiri. Semua nama yang diceritakan dalam kisah ni sudah diolah semula untuk mengelakkan kawan-kawan aku terbaca dan mengenang semula tragedi overnight kami. Maaf kerana cerita ini agak panjang sebagaimana panjangnya rasa malam yang kami lalui ni. Aku akan cerita dengan detail supaya korang faham situasi kejadian. Jangan risau, aku akan ceritakan sampai habis, tiada sambungan.

Aku Dhia, pada kisah ni terjadi, aku 21 tahun masa tu. Lebih kurang 6 tahun lepas. Aku perkenalkan kawan-kawan aku, Johan, Fizi, Acap, Ray, Maria, dan Una. Kami semua student sem akhir di salah sebuah universiti terkemuka di Perak. Kami semua ni student fakulti seni lukis dan seni reka. Kami adalah antara student-student yang tak dapat hostel, jadi kami terpaksa menyewa rumah di kawasan sekitar universiti kami. Menjadi kebiasaan setiap penghujung semester, sebelum masuknya musim cuti sem, student-student mesti nak habiskan masa melepak dengan kawan-kawan, termasuklah aku dan kawan-kawan aku, Apatah lagi, ini sem terakhir kami di sini (jika tak de kena repeat la), bermakna ini la sem terakhir kami dapat lepak dengan kawan-kawan. Aku ni serumah dengan Maria dan Una. Setaman dengan kami, Johan, Fizi, Acap dan Ray yang jugak serumah. Jarak rumah sewa kami tak jauh pun.

Satu petang tu masa kami tengah lepak di playground, Johan mencadangkan untuk kami overnight di mana-mana dan spend masa bersama memandangkan kami ada lagi seminggu je di kampus sebelum sem berakhir. Inilah jadinya bila duduk rumah sewa, tak ada pengawalan pak guard, ibu bapak, jadi aku, Maria dan Una ni bersetuju je walaupun kami ni sedar kami ni perempuan, tak patut merayau malam-malam, tapi nak buat macam mana, darah muda, ada ja yang nak dicubanya. Aku dan Maria ni jenis suka overnight lepak-lepak mamak, manakala Una pulak jenis kaki duduk rumah tapi entah kenapa kali ni dia bersetuju pulak nak join kita orang. Mungkin sebab kali terakhir untuk kami lepak kot. Setelah brainstorm punya brainstorm, budak-budak lelaki sepakat nak overnight di Teluk Batik.

Hari esok, kami berpakat untuk bertolak ke Teluk Batik dari rumah sewa. Jarak perjalanan dr rumah sewa, ada la dalam setengah jam hingga ke 45 minit. Teluk Batik ni adalah pantai paling terdekat dengan kampus kami. Tentu-tentu la korang semua boleh agak di mana kampus kami kan. Kami bertolak pukul 8 malam dengan menaiki 2 kereta sewa yang kami sewa semata-semata hanya untuk overnight. Membazir betul lah haiii… Kereta pertama, Johan drive, Acap di sebelah dan Maria di belakang. Dalam kereta aku, Ray drive, Fizi di sebelah, aku dan Una di belakang. Kami bahagikan macam tu supaya balance lelaki dan perempuan, risau kalau apa-apa terjadi di tengah jalan, kot kereta pancit ke, kene tahan dengan orang ke, ish mintak jauh lah.

Kami singgah di Jeti Lumut dulu untuk makan malam di kedai mamak area situ. Sebab kami tau, tiada apa di teluk batik pada waktu malam. Selesai makan dan bergelak ketawa, kami singgah di 7E untuk beli jajan. tiada apa berlaku pada masa ini, dengan penuh excitednya kami bergerak ke teluk batik. Sesampainya di sana, keadaan punya la gelap seolah-olah mati sunyi, tak ada apa-apa kedai yang bukak, mahupun sebarang manusia. Hanya deruan ombak deras dan bunyi cengkerik yang datang dari semak samun di mana-mana. kami parking berdekatan kedai makan yang gelita, hanya ada cahaya dari tiang lampu jalan. Ray mencadangkan kami mencari port yang sesuai untuk kami lepak. Port yang ada sikit cahaya lampu.

"Ha… tu tu… situ port baik tu", Johan menjerit sambil menunjuk ke arah laluan pejalan kaki yang bersebelahan dengan pasir pantai. Ada tiang lampu yang mempunyai cahaya samar-samar di situ. Kami bertujuh pun bergerak ke arah yang sama ke tempat yang Johan tunjukkan.

"Dhia, aku takut la.. gelapppp je.. kite lepak kat lumut je la. Ade kedai-kedai, tak de la sunyi sangat. Bukan apa, nanti tetiba ada ‘lebai putih’ pulak yang datang", Una bisik kat telinga aku. Lebai putih yang dimaksudkan tu pencegah maksiat. Aku tahu Una ni memang jenis tak biasa lepak tengah-tengah malam macam ni, kat tempat-tempat macam ni pulak.

"Kau jangan buat spoil mood Una.. nanti diorang semua bengang dengan kau. Kan dah plan nak lepak sini. Lagipun kita bertujuh, nak risau apa. bukan nya buat pape", jawapan yang aku rasa konfiden habis nak bagi kat Una. Una senyap lepas tu. Kami lepak di tebing laluan pejalan kaki, di bawah tiang lampu. Kami duduk dalam bulatan, ada yang menjuntaikan kaki di bawah tebing laluan, nak merasakan pasir pantai. Air kelihatan surut tapi bakal pasang dalam beberapa jam lagi.

Kami mulakan aktiviti overnight kami dengan bersembang dan bergelak ketawa tak ingat dunia. Sempat pula kami main true or dare, ada yang berceritakan kisah memalukan, dan ada pulak yang kena berdiri dan menari di dalam bulatan. Gelak punya gelak, Una bersuara…

"Dhia, teman aku gi cari toilet. Tak tahan la, sejuk". Aduhhh.. Una ni. Dia ni lah sejenis kawan yang dalam satu malam entah berapa kali nak masuk toilet. Tadi dalam perjalanan pun dah singgah. Kat kedai mamak pun dah. Kat sini pun dia nak cari toilet lagi. Aku malas nak banyak bunyi, aku mintak salah seorang budak lelaki temankan. Jadi, Acap volunteer nak temankan. Aku, Acap dan Una pun memusing nak mencari toilet. Kami ternampak public toilet dari jauh. Tapi kelihatan malam. Memandangkan aku rasa Una dah tak tahan sangat, dia redah je toilet tu. Aku dan Acap tunggu kat luar pintu toilet. Sesekali, Una bersuara untuk mengesahkan yang kami masih menemani dia. Risau gamaknya.

Jarak toilet ade la dalam 100 meter dari tempat lepak kami, bermakna kami lepak di hujung pantai, toilet tu pulak ada di sebelah lain. Dari nak berjalan kaki sambil mengikut persisiran pantai, ada la dalam 10 minit berlenggang. Angin malam makin kuat. Aku berjalan di tengah, Acap di kiri dan Una di kanan. Tiba-tiba aku rasa tangan Una mencengkam pinggang aku. Bila aku toleh ke Una, Una menunduk ke bawah sambil mencengkam lengan aku untuk berjalan lebih laju. Aku tak pula bertanya apa, aku hanya memikirkan yang Una ni penakut yang amat je. Yelah, kena lalu bawah2 tiang lampu yang samar, ada tiang lampu yang x bercahaya, keadaan depan yang samar-samar, dengan angin yang kuat, mana la dia tak takut.

Sesampainya di tempat lepak, aku tengok Fizi, Johan, Ray dan Maria tak ada di tempat lepak. Acap cuba call Johan nak mengesahkan, kat mana budak berempat ni. Kalau ke toilet, takkan la kami tak selisih. Kali pertama call, tak berangkat, kali kedua call, baru Johan angkat.

"Weh.. tunggu jap. Kitorang nak amik air botol dalam kereta. Tadi lupa nak bawak keluar." Menunggu punya menunggu, dalam 15 minit tak sampai-sampai jugak diorang ni. Aku suruh Acap call lagi. Tapi Acap tak nak, katanya "alah, diorang gi pusing-pusing amik angin kejap kot. Jap gi sampai la tu." Biasalah, lelaki.. sejenis kaum yang chill dan tak kesah..

Dalam minit ke 20, aku boleh nampak susuk mereka berlima berlari ke arah kami. Dengan keadaan tercungap-cungap, Ray dengan Johan…

"Wei, wei jom balik wei. Jom balik cepat. masuk dalam kereta". Kami bertiga blur dan Acap bertanya kenapa nak balik cepat. Jawab Johan dengan termengah-mengah,

"Jom, masuk je kereta, nanti-nanti je aku cerita". Kitorang tak banyak cakap, terus bergerak ke arah kereta, tapi kami bertiga seolah tertinggal di belakang sebab Johan, Fizi, Acap dan Maria macam berlari laju di depan. Aku pun terpaksa la berlari laju mengejar diorang. Dalam masa mengejar tu, mata aku tertoleh-toleh jugak kiri kanan, risaukan kot lebai putih mengejar kami ke. Dalam tertoleh-toleh tu, terpandang sesuatu dari arah kanan atas. Allah. Ada susuk putih yang berterbangan seiringan dengan kami. Aku alihkan pandangan aku ke depan. Pertama kali aku melihat dengan jelas, tidak la aku punya mata hijab terbuka. Tapi, pandangan yang aku lihat tadi buat jantung aku punya la laju berdegup dan makin laju aku lari sampai Una pun tertinggal di belakang. Terasa macam jauh pulak kami parking kereta. Aduh.. Kami masuk dalam kereta mengikut keadaan asal kami datang.

Ray cuba menghidupkan enjin kereta. Tak jadi apa. Kereta tak nak hidup, sedangkan kereta sebelah dah ready nak gerak. Una dengan peluh dan cuak, pegang lengan aku tapi tak bercakap apa-apa. Ray menyebut bismillahhhh….. enjin berjaya dihidupkan, dan kereta kami ready untuk keluar dari teluk batik. Keluar sahaja dari parking, di persimpangan pertama untuk belok ke kiri, mata aku tertoleh pulak ke arah satu pokok yang jauh sikit dari tiang lampu jalan. Disebabkan aku duduk di seat belakang, belah kiri dan pokok tu pulak di sebelah kiri, aku rasa aku seorang je yang fokus ke arah itu. Ada sekujur tubuh berbalut dan berikat longgar di tepi pokok. Aku pejamkan mata aku, kali kedua aku bukak mata, benda itu seolah melompat-lompat dan berlalu pergi. Allah… apa lagi ni. Kenapa dua kali ni…

Alhamdullilah, kami berjaya keluar dari kawasan Teluk Batik dengan selamat. Kami berbalas call dalam kereta dan decide untuk ke Lumut sahaja. Una bertanya apa yang sebenarnya berlaku, tapi soalan tak berbalas jawapan. Semua senyap. Sampai di Lumut, kami singgah ke kedai mamak 24 jam yang sama kami singgah sebelum ke teluk batik tadi. Adoi. terasa malu pulak, dalam satu malam, 2 kali lepak kedai yang sama sampai mamak yang amik order pun dah cam muka. Siap je order, Johan dan Maria mula bukak cerita.

"Tadi sebenarnya kitorang suruh gerak balik sebab masa kitorang dekat kereta nak amik air tu, si Fizi nampak benda. Benda putih duduk berdiri tegak kat tiang lampu depan kereta. Dia pegi tegur, dah semua pegi tengok benda tu. Dalam berapa saat, benda tu hilang. Kitorang terus decide nak balik. Tapi takde sape pun yang berani nak pergi gerak ke tempat korang untuk bagitau korang. Kitorang call-call korang, semua tak dapat. Tak tau la pasal apa. Kitorang duk tolak-tolak, semua tak nak pegi, tapi sebab risau gila benda tu datang lagi, semua lari ke tempat korang". Aku pandang ke Fizi. Senyap, pucat dan kaku je… Sambil mengangguk lemah. Sesekali Ray menenangkan Fizi. Aku agak Fizi ni adalah Una version perempuan je. Kami bertukar-tukar cerita tentang apa yang terjadi. Aku berceritakan tentang apa yang aku nampak, semua tergamam dan terkejut. Malah Una pun bercerita tentang apa yang dia nampak.

"Dhia, tadi kan.. masa aku tarik tangan kau.. sebenarnya sebab aku nampak ada benda tengah jalan sebelah Acap. Aku tak tau apa, tapi macam benda itam tak de muka, dia ikutttt je kita jalan dari toilet tu. Tapi bila sampai dekat tempat lepak tu, dia hilang." Acap rasa geram dengan Una sebab Una taknak bagitau awal-awal tadi. Dua-dua duk bertekak. Tiba-tiba aku teringat, masa aku nampak Ray, Johan, Fizi dan Maria berlari tu, kenapa aku rasa seolah ada 5 orang padahal diorang ni berempat je? Aku senyapkan saje hal tu, aku taknak menambah ketakutan diorang.

Jam beransur pukul 1.30 pagi. Lama jugak rupanya kami lepak. Kami bergerak balik ke arah rumah sewa. Untuk balik ke rumah sewa, kami kena melalui jalan yang gelap, sunyi, panjang dan tak banyak kereta. Sesiapa yang duduk di Perak ni, mesti tau jalan ke arah Lumut ni macam mana dia punya sunyi. Kami bergerak dengan kelajuan lebih kurang 80km/j. Tak nak laju sangat sebab takut tiba-tiba ada binatang melintas ke, dah la gelap kan. Kereta aku di depan. Tak berapa lama… Ray bersuara..

"Korang, aku rasa kereta ni macam taknak gerak je. Dah habis aku tekan. Macam tak laju-laju".

Bayangkan, gear dah masuk nombor 5, dah tekan habis laju, tapi kelajuan tetap sama je macam tu. Ray cuba turunkan gear, dari 5, ke 4, ke 3, ke 2, ke 1, kelajuan tetap sama, malah sampai makin slow, hampir ke 40km/j je. Kereta Johan kat belakang sampai dah hilang sabar nak follow kitorang, siap bagi lampu tinggi. Aku rasa Johan dah hilang sabar, mana taknya, kalau kayuh basikal lagi laju aku rasa. Aku tengok kereta Johan nak potong kami dari sebelah kanan. Jalan ni 1 lane je, jadi Johan kena cross masuk lane sebelah. Masa tengah potong tu, aku menoleh ke arah kereta diorang, mana la tau kot kot diorang ingat kitorang main-main ke..

Astaghfirullah, kenapa berdua. Siapa pulak yang duduk di sebelah Maria di seat belakang. Aku diamkan je sebab aku tengok Una dah mula risau. Memandangkan kami dah dipotong, kereta kami agak ketinggalan di belakang. Ray makin cuak. Kami bergerak dengan kelajuan macam tu hampir 20 minit. Aku sebenarnya dah rasa ada sesuatu yang menumpang di atas kereta. Tayar seolah-olah taknak pergi, ibarat disekat dari berpusing, sampaikan keluar bunyi “sreeeeetttttt” disebabkan geseran. Sampainya kami di kawasan bercahaya dan berlampu jalan, baru lah kereta kami terasa ringan. Una aku tak payah cakap la. Dah nak menangis aku rasa, lengan aku naik lebam sebab kena cengkap. Kami dalam kereta tak banyak cakap sebab masing-masing tengah cuba hadam apa sebenarnya yang berlaku.

"Cap, sampai kat Taman Maju nanti, singgah ler mana-mana mamak jap, aku tak nak kita semua balik dulu." Aku call acap sebab aku rasa seakan ada sesuatu yang tak kena. Ye la, kalau la kata benda tu ade ikut balik, tak ke naya. Sekurangnya kalau kami singgah di mamak, 'benda' tu boleh la drop by kat mamak dulu, tak de la dia nak ikut balik gamaknya. Firasat aku la.

Sampai kat mamak, dalam pukul 2.30 pagi, semua dah keletihan. 1 jam perjalanan, masa jadi panjang disebabkan kereta kami yang tak nak pergi laju. Itupun syukurlah tak terjadi apa-apa sepanjang perjalanan. Dekat sini, kami sambung lagi bercerita apa yang jadi. Kata Acap, kereta kami seolah ditumpang sebiji batu yang sangatlah besar di atas bumbung, batu tu tak nak bergerak. Sebab tu Johan cuba bagi high beam kat kitorang. Sembang punya sembang, bulu roma makin berdiri. Una tak sudah-sudah gelisah, semua bingung dengan kejadian malam ni.

"Orang-orang tua cakap kan.. kalau rasa ada benda tu ikut, kalau balik rumah, jangan terus masuk rumah, kene pusing taman dulu 3 kali, bagi ‘dia’ sesat dan pening." Fizi punya idea. Nak tergelak pun ada, tapi sebab masing-masing tengak cuak lagi, semua setuju je. Ape ke pelik la malam-malam kami tawaf taman perumahan kami 3 kali. Una dan Maria kata mereka masih tak sedap hati, jadi budak-budak lelaki bersetuju untuk temankan kami di rumah kami. Angin macam bertiup kuat malam tu, seolah-olah nak hujan, tapi tak hujan. Suasana jadi seram sejuk. Kami dapat rasakan sesuatu yang kami tak boleh nak gambarkan macam mana, masing-masing tak nak cakap apa-apa. Bayangkan kami punya takut sampaikan tiba je kat depan rumah sewa kami, kami bertujuh ni pegi tawaf pokok mangga depan pintu pagar kami. Ini semua Fizi punya pasal la..

"Aku rasa tak sedap hati la. Bagi nak kasi halau betul-betul, kita keliling la pokok ni 3 kali, mana tau dia dah tak nak ikut". Masing-masing punya la lurus, ikutttt je apa si Fizi ni cakap. Yelah, tengah seram sejuk, angin bertiup kuat kat luar, semua dah tak boleh nak fikir waras.

Kami masuk ke dalam garaj, kereta kami semua di luar rumah. Hujan turun selebat-lebatnya. Disebabkan garaj kami tempias dengan hujan, kami semua masuk ke dalam rumah dan duduk di ruang tamu. Pintu kami biarkan terbuka, takut pulak orang tuduh kami buat bukan-bukan, walaupun kami sebenarnya ketakutan. Budak-budak lelaki nak temankan kami sehingga azan subuh. Kami duduk di ruang tamu. Rumah kami tiada sofa. Cuma ada meja makan dan 4 buah kerusi makan di tepi dinding. Semua duduk di lantai kecuali Fizi yang berada di atas kerusi.

Tak sampai 10 minit kami duduk…

BANG!!!!!! Pintu rumah tertutup kuat seolah dihempas kuat. Aku dan Una terjerit sebab terkejut. Una dah mula nak menangis. Maria mula datang dan peluk aku. Kami bertiga duduk berpeluk lutut rapat-rapat. Tiba-tiba cawan kat dapur pecah dibaling ke dinding. Rumah kami ni tak ada divider, dari ruang tamu, boleh terus nampak ke dapur. Rumah sewa murah la katakan.. dari tempat kami duduk, kami boleh nampak kaca bertaburan di tepi dinding.

Una dah menangis.. "tolong weh.. tolong… aku nak balik.. aku nak mak ayah aku…"

"Aku rasa kita masuk kampus la malam ni, tak sedap la macam ni. Lantak la kalau pak guard tak bagi ke, nak marah ke, janji kita masuk jugak", idea Johan. Semua angguk setuju walaupun hujan kat luar tengah lebat dengan angin macam nak ribut. Johan bangun cuba nak bukak pintu, tapi walau ditarik sekuat mana pun, pintu tak nak terbukak. Semua menyaksikan kejadian tu, walaupun dengan bantuan Acap dan Ray, pintu masuk tak boleh terbuka, sedangkan tak berkunci. Una dah makin kuat menangis. Geram pun ada dengan Una ni.

Johan, Acap dan Ray duduk kembali. Kami duduk dalam bulatan, berdekatan antara satu sama lain sebab takut sangat-sangat. Fizi masih di atas kerusi, kaku, pucat dan bingung.
"Hoi makhluk! Kalau kau ada disini, berikan kami tanda. Aku tak nak kau main-main macam ni!", Johan memekik. Elok je Johan cakap macam tu, aku ternampak Ray yang duduk kat sebelah menggeliat memegang leher. Di belakang Ray aku nampak cahaya halus sepintas lalu dengan laju dan lesap macam tu je. Selang seketika, Maria menjerit. Katanya dicakar di bahu. Selepas Maria, turn aku pulak. Kali ni aku rasa cakaran halus di tengkuk. Bagaimana ‘benda’ tu boleh cakar dalam tudung aku pon aku tak tau. Cakaran halus yang pedih aku rasa.

Dalam 5 minit, Fizi kelihatan kejang di kerusi.
"Ggggggghhhhrrrrrrr…..", suara Fizi bertukar garau. Wajahnya bertukar pucat lesi, mata hitamnya melihat ke atas sampai dah tak kelihatan lagi, badannya mengejang keras, tangannya juga mengejang seolah ingin mencengkam sesuatu, Fizi membongkok seperti haiwan yang dengan kepala mendongak ke siling rumah. Fizi cakap sesuatu yang kami tidak tahu apa. Masing-masing menoleh sesama sendiri. Una dah berlari ke pintu sambil menangis pekik-pekik minta pintu dibukak. Malangnya apa yang jadi makin teruk. Maria menangis tak tentu hala, aku seakan mahu je teriak tapi perasaan ingin melepaskan diri lebih kuat dari perasaan nak menangis.

Lampu ruang tamu kami berkelip kelip. sekejap terpadam dalam 10 saat, kemudian menyala semula. berulang-ulang kali macam tu. Apabila terpadam, setiap kali tu jugak Maria dan Una menangis-nangis menjerit. Budak-budak lelaki panik tapi kami hanya mampu duduk di tepi dinding ketakutan. Melihatkan Fizi keras kaku begitu, kami makin menggigil. Fizi merangkak seperti binatang yang laju cuba mencengkam Acap. Elok sahaja bahu Fizi dicengkam Acap, Acap juga bertukar seperti Fizi. Membuatkan kami hilang pertimbangan, kami mengetuk-ngetuk tingkap, pintu dan segala yang ada mintak dibebaskan. Johan menjerit…

"Jangan ganggu kami la! Kau nak apa! Keluar kau dari sini". Serasanya 'benda' tu semakin marah. Banyak pinggan mangkuk di dapur yang berterbangan dan pecah bertaburan ke lantai. Apa yang aku ingat, ada cawan yang cuba dibaling ke arah aku, tapi sempat aku mengelak dalam samar-samar cahaya. Kaca pecah disebelah aku dan Maria. Lupa aku nak ceritakan. Rumah kami adalah rumah sebelah corner lot, sebelah rumah kami (rumah corner lot) dibiarkan kosong tanpa penghuni. Rumah sebelah kiri pula adalah rumah bujang lelaki, tetapi entah kenapa malam tu seperti tidak ada siapa menghiraukan kami yang menjerit macam nak gila. Mungkin kerana hujan lebat dan bagai nak ribut, suara kami tenggelam tak kedengaran.

Ray mengazankan rumah kami sekuat mungkin. Selesai sahaja azan, pintu rumah kami terbuka, lampu menyala seperti biasa, tetapi Fizi dan Acap masih seperti tadi. Mengeras kejang dan seperti haiwan. Kami berlima keluar dari rumah dengan Una yang menangis teresak-esak nak balik rumah keluarganya. Kami berbincang macam mana nak selesaikan hal ini. Maria offer diri untuk call seorang ustaz yang juga merupakan warden di kampus kami.

Selesai sahaja call, Maria bagitau yang Ustaz Arif akan datang dalam masa setengah jam. Jam masa tu dah pukul 4.00 pagi. Ustaz Arif sampai dalam pukul 4.30 pagi bersama-sama dengan dua warden perempuan yang juga merupakan pensyarah dari fakulti kami dan fakulti lain. Ini part yang aku rasa nak marah pun ada, tapi nak buat macam mana, keadaan tengah panik, aku pendam saja. Sesampainya Ustaz Arif di muka pintu rumah kami…

"Ya Allah, maksiat!!! Maksiat!!! Ini rumah siapa? Kenapa kamu semua lelaki semua bercampur di rumah ini?? Ini semua maksiat! Kamu nak jadi apa? Ini semua zina!". Tidak sedikit pun ayat Ustaz Arif yang aku lupakan pada malam tu. Kami ditempik dengan teguran sebegitu. Bukankah keadaan Fizi dan Acap masa tu lebih penting?

"Ustaz, ni rumah kami. Kami sebenarnya dari luar, tapi sebab rasa macam terbawak benda balik, kawan-kawan lelaki kami ni teman kami kat sini sampai azan subuh. Kami taktau macam mana boleh jadi macam ni", aku depan menjawab. Ustaz Arif membalas…

"Haaaaa… ini lah yang aku malas! Budak-budak sekarang semua tak guna, perangai mengalahkan setan! keluar bercampur lelaki perempuan lewat malam, bila dah jadi macam ni, baru nak panggil aku, maksiat, zina ni semua kau semua tak tahu ke? Kau semua ni fakulti apa? Biar aku report kat koordinator masing-masing! memalukan nama fakulti". Allah, tersentak aku dengan ayat Ustaz Arif. Sementara Ustaz Arif menegur kasar kami ni, tidak pun kakinya melangkah masuk, malah Ustaz Arif lebih fokus nak syarahkan kami yang kat luar ni.

Kami diarahkan untuk tunggu diluar manakala Ray dan Johan disuruh untuk membantu Ustaz Arif di dalam. Aku tidak tahu apa yang terjadi di dalam. Maria tunduk sugul di sebelah aku. Barangkali malu dengan Puan Masitah dan Puan Rozita agaknya. Puan Masitah bertanyakan macam-macam kepada kami. Una menangis tak henti-henti kepada kami. Dek kebendulannya, diceritakan semua yang terjadi kepada Puan Masitah dan Puan Rozita, bermula dari cerita kami overnight di teluk batik, sampai lah macam mana kami boleh jadi macam ni. Puan Masitah dan Puan Rozita berkali-kali menggelengkan kepala dan berkata,

"kamu semua ni cari nahas ni". Una masih menangis tak berhenti-henti.

Sebaik keadaan reda, Ustaz Arif dan Johan keluar dari rumah, Ray pula menjaga Acap dan Fizi yang nampak kelihatan di dalam. Johan nampak macam mengangguk-angguk di sebelah Ustaz Arif.

"Kau semua ni memang cari pasal. Kalau tau macam ni, aku tak nak datang tengok kau orang ni. haihhhhhh. Kau orang semua tunggu aku report kat koordinator. Ni kamu ni! (sambil tunjuk ke aku, maria dan Una yang menangis), dah tau perempuan, nak keluar malam! Patut jaga diri! Bukan buat benda bukan-bukan, melepak sampai lewat malam! haih!". Ustaz menempik kepada kami. Tersentap kami dengan teguran Ustaz Arif. Memang salah kami.

Ustaz Arif balik bersama Puan Rozita dan Puan Masitah. Sebelum balik, dia berpesan kepada budak-budak lelaki supaya balik rumah terus, jangan lama-lama di rumah kami. Mengundang fitnah katanya. Tak lama lepas Acap dan Fizi mampu bangun dan berdiri, mereka balik ke rumah mereka. Tinggallah aku, Maria dan Una. Sejujurnya kami masih merasa saki baki seram di dalam rumah kami. Melihatkan keadaan rumah yang tunggang langgang, kami jadi tak berani nak masuk ke bilik masing-masing. Kami terlelap di ruang tamu bertiga.

Siang harinya kami mengemas rumah yang dah seperti kapal karam. Banyak kaca bertaburan, langsir bilik yang tertanggal dan kerusi yang tunggang terbalik. Aku ingat lagi, 3 hari selepas kejadian malam tu, aku sering merasa takut untuk mandi. Aku rasa macam ada sesuatu yang tengah perhatikan aku. Malah kalau tidur dalam bilik sorang-sorang pun, aku rasa macam aku ber’teman’. Aku ada cerita kepada Maria, rupanya Maria merasakan benda yang sama. Kami sepatutnya habis sem dalam masa seminggu lagi. Waktu itulah sepatutnya kami berpindah keluar dari rumah ini.

Tetapi, belum sampai seminggu, keluarga Una dah datang mengambil Una dan membawa Una pergi. Aku ada tanya pada Una, kenapa dia tak tunggu sampai hari majlis perpisahan di fakulti, dia jawab "aku ada hal Dhia." Tapi Una kelihatan lain. Lepas dari kejadian malam tu, Una tak banyak cakap, selalu duduk sorang-sorang dalam rumah. Kalau diajak pergi keluar makan sama pun, dia taknak. Selalunya Una bukan macam tu. Una ni jenis penakut tinggal sorang-sorang kat rumah. Tapi waktu-waktu terakhir ni berbeza.

Malam terakhir sebelum keluarga Una datang ambil dia tu, aku nampak Una duduk di depan muka pintu dengan pintu terbukak luas, memeluk lutut sambil duduk tegak memandang ke luar rumah, pada pukul 3 pagi. Ya, pukul 3 pagi. Aku taknak tanya apa-apa dah semenjak kejadian malam tu sebabnya kami tak nak mengungkit balik apa yang dah jadi. Hari terakhir Una di rumah, ketika keluarganya menolong mengangkat barang keluar dari rumah, aku sempat bertanya kepada mak Una, kenapa awal sangat ambil Una. Tahu apa mak dia jawab?

"Una telefon mintak ambil. Dia dah tak tahan". Mulut aku ni gatallll sangat nak tanya "tak tahan apa" tapi tak tau kenapa tak terkeluar rasanya. Aku diamkan terus macam tu. Aku bagitau pada budak-budak lelaki yang lain pasal hal ni, semua kelihatan pelik. Itu lah hari terakhir aku melihat wajah Una.

Inilah kisah yang aku ingat sampai bila-bila. Kisah yang memisahkan aku dan Una, kawan serumahku. Sampai sekarang, tak ada sesiapa antara kami yang berjaya contact Una. Masa waktu ni, friendster adalah medium social media yang tengah trend. Kami semua berhubung menggunakan friendster. Tetapi lepas Una balik, friendster Una tak lagi aktif sehinggalah sekarang. Aku ada bertanyakan pada kawan-kawan yang mengenali Una, dimanakah dia sekarang. Tidak ada jawapan yang pasti pernah aku dapat. Sehinggakan sewaktu kami nak sambung degree, Una tak mendaftar sambung. Kami tak pernah tahu ke mana Una walaupun Una pernah bagitahu yang dia mahu sekelas dengan aku dan Maria masa degree nanti.

Sekiranya ada kawan-kawan aku yang terbaca dan tahu aku tengah bercerita tentang mereka ni, aku haraplah sangat yang kita semua dapat berjumpa lagi dan aku harap Una ada pada masa tu... dalam keadaan yang baik.

Wallahualam…

Kredit

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon