Monday 14 December 2020

Kerajaan Muhyiddin Bakal Tumbang Esok - Tun Mahathir.

Tags




KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tadbiran Tan Sri Muhyiddin Yaasin akan tumbang dalam undian Parlimen esok.

Dalam sidang media bersama Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Mahathir berkata dalam bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 esok sekiranya majoriti menolak, kerajaan hari ini akan rebah dan kerajaan baru akan dibentuk.

Tanpa menamakan sebarang platform atau parti yang bakal membentuk kerajaan baru jika kerajaan PN kalah dalam undian esok, Dr Mahathir sekadar menyatakan kerajaan baru akan didasari oleh gabungan Ahli Parlimen yang berkhidmat kepada rakyat dan matlamatnya cuma satu iaitu memajukan negara.

“Esok kalau kerajaan kalah dalam bacaan kali ketiga, kerajaan baru akan dibentuk. Buat masa ini masih belum ada Kabinet bayangan.

“Bukan untuk saya jadi Perdana Menteri, tapi kalau dapat sokongan (majoriti) saya akan jadi Perdana Menteri esok,” katanya pada sidang media di Yayasan al-Bukhary, hari ini.

Beliau beberapa kali menegaskan bahawa kerajaan baru yang bakal dibentuk nanti hanya akan terdiri daripada pemimpin yang benar-benar ikhlas membantu rakyat dan juga fokus mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

Dr Mahathir juga memberitahu kerajaan baru berkenaan tidak akan dibangunkan berasaskan parti seperti lazimnya kerana katanya dengan politik kepartian pemimpin akan mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat dan sibuk berpolitik.

Ahli Parlimen Langkawi itu menyatakan sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama mereka dalam penolakan belanjawan esok, ia diterima namun bersyarat.

“Mereka boleh sokong. Tapi kalau kerajaan baru dibentuk mereka tak boleh sertai memandangkan ada kes mahkamah,” tegasnya.

Dr Mahathir memberitahu beliau Tengku Razaleigh tidak akan meminta gaji kerana mereka telah memiliki wang persaraan yang mencukupi sepanjang 22 tahun berada dalam Kabinet sebelum ini.

“Kami berdua orang lama berpengalaman dalam kerajaan. Kami cuma ingin membantu, tak perlu bayar gaji,” katanya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh ketika ditanya sebagai Penasihat UMNO adakah beliau mempunyai magis untuk menarik sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk kalahkan kerajaan PN dalam undian esok, beliau tidak menolak jangkaan tersebut.

“Jawapannya mungkin dapatkan sokongan Ahli Parlimen BN,” jawabnya ringkas.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut memaklumkan beliau tidak ada masalah bekerjasama dengan Dr Mahathir dan pembangkang di Parlimen memandangkan kerajaan yang mentadbir hari ini tidak mempunyai keabsahan.

Bahkan Tengku Razaleigh tidak mengendahkan sekiranya Lembaga Disiplin UMNO bakal mengenakan tindakan terhadapnya.

“Disiplin apa? Saya bersama dengan Dr Mahathir,” ujar beliau.

Beliau juga menegaskan tidak akan terlibat dalam pengundian di Parlimen.

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon