Monday 18 September 2017

Suspek Bakar Pusat Tahfiz Dilihat Langsung Tidak Menyesal Atas Perbuatan Mereka...

Tags



Tujuh remaja yang dipercayai telah membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah langsung tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan walaupun sudah ditahan oleh polis.


Sumber dipetik oleh NST mendakwa suspek-suspek tersebut yang berusia di antara 12 dan 18 tahun, hanya menunjukkan muka keras ketika disoal siasat berhubung tindakan jenayah kejam yang membawa kepada kematian 23 orang termasuk pelajar semuda usia 6 tahun.

“Mereka seperti langsung tidak menyesal. Remaja-remaja itu langsung tak minta maaf kerana telah menyebabkan tragedi tersebut,”

“Sepanjang masa ketika disoal siasat, berhubung kejadian itu, mereka hanya melihat ke bawah. Mungkin mereka sedar bahawa memang mereka bersalah,”

“Tiada tangisan atau apa-apa yang menunjukkan mereka rasa menyesal termasuk (suspek) yang paling muda sekali,”

Sumber itu turut memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek-suspek tersebut mahu membalas dendam terhadap pelajar-pelajar tahfiz berikutan ejek-mengejek yang berlaku baru-baru ini, yang mana turut melibatkan kejadian membaling botol air.

Dalam masa yang sama penduduk-penduduk di sekitar sekolah berkenaan memberitahu NST bahawa mereka sering melihat remaja-remaja itu berpeleseran di Taman Tasik Dato’ Keramat yang terletak di belakang sekolah tersebut.

Salah seorang daripada mereka, seorang lelaki berusia 40-an berkata bahawa dia mengenali wajah sebahagian daripada suspek-suspek berdasarkan gambar-gambar yang menjadi viral pada hari Sabtu.

“Budak-budak yang kena tangkap tu dari sekitar sini. Saya selalu nampak mereka di sini banyak kali menunggang motosikal,”

“Daripada apa yang kami (penduduk) faham, kebanyakan mereka adalah anak-anak pendatang asing yang tinggal di Dato Keramat. Budak-budak tu dilahirkan di sini tapi mereka tak pergi sekolah,”

Seorang lagi penduduk, wanita berusia 60an yang juga enggan namanya disiarkan berkata, selama bertahun-tahun, kawasan tasik telah dijadikan tempat berpeleseran budak-budak nakal, ada yang menghisap rokok dan mungkin mengambil dadah.

“Sudah bertahun-tahun, kadangkala kita boleh nampak sekumpulan besar remaja berpeleseran di tasik.”

Secara kebetulan dakwanya lagi, kawasan kejiranan berkenaan menyaksikan peningkatan kes-kes jenayah terutama kecurian dan pecah rumah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh semalam berkata bahawa pihak polis percaya telah menyelesaikan kes tersebut berikutan penangkapan remaja-remaja berkenaan.

Katanya siasatan pihak polis mendapati remaja-remaja tersebut memang berniat membakar sekolah di Jalan Keramat Hujung disebabkan dendam berikutan insiden ejek-mengejek di antara mereka dan pelajar tahfiz baru-baru ini.

Menurut Amar, suspek-suspek tersebut yang kini disiasat atas kesalahan membunuh dan khianat menggunakan api telah menggunakan dia biji tong gas memasak dan bahan mudah terbakar untuk membakar bangunan tahfiz tiga tingkat awal pagi hari Khamis lalu.

Pihak polis telah menahan remaja-remaja berkenaan di antara jam 6.30 pagi Jumaat dan 2.30 pagi Sabtu dari pelbagai lokasi di Dato’ Keramat berdasarkan petunjuk yang diperolehi melalui rakaman CCTV dan penemuan forensik yang mengesahkan bahawa kejadian tersebut berpunca daripada perbuatan khianat. - EdisiRakyat

BACA INI JUGA:

Artikel Terkait

Content Champion at Media Asia Berhad.


EmoticonEmoticon